Pekerja asing wajib jalani ujian saringan Covid-19

0
78

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

CYBERJAYA – Kerajaan memutuskan bahawa semua pekerja warga asing yang berkhidmat di pelbagai sektor perlu menjalani ujian saringan Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi melaksanakannya, kos saringan adalah ditanggung oleh majikan masing-masing.

“Sebagai langkah pencegahan, semua pekerja warga asing di semua sektor sama ada pembinaan, perkilangan, komersial dan sebagainya diwajibkan untuk melakukan ujian saringan ‘swab’

“Kos saringan perlu ditanggung oleh majikan dan Kementerian Kesihatan bercadang untuk memulakan swab test ini di Wilayah Persekutuan dan Selangor,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Jelasnya, keputusan itu diambil susulan daripada kes positif Covid-19 yang melibatkan pekerja-pekerja asing yang bekerja di sebuah tapak pembinaan di Ampang baru-baru ini.

“Dua hari berturut-turut kita dapati terdapat peningkatan kes positif Covid-19 dan ia didapati berlaku kepada pekerja-pekerja asing yang bekerja di sebuah tapak pembinaan di Ampang.

“Bagi membendung penularan Covid-19 daripada terus merebak maka Kementerian Kerja Raya telah pun menutup tapak pembinaan tersebut.

“Tindakan tutup serta merta akan dilaksanakan jika berlaku kes positif Covid-19 di kalangan pekerja sama ada tapak pembinaan, kilang, restoran atau sebagainya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here