Pelajar PHD tinggal di khemah usang bersama keluarga abang kandung lapan beranak

0
1835

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Satu lagi kisah rakyat dihimpit kemiskinan dan kedaifan yang mula tular hari ini wajar dilihat sebagai salah satu hikmah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam media sosial Facebook, kisah kemiskinan seorang pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kampus Skudai yang sedang mengikuti program Ijazah Kedoktoran (PhD) jurusan Kejuruteraan Awam mendapat perhatian warga maya.

Kedaifan keluarga pelajar bernama Maznah Ismail itu mula tersingkap apabila dia dihantar pulang sebaik kerajaan membenarkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) pulang ke kediaman masing-masing.

Difahamkan Maznah telah dihantar pulang ke kediamannya di Kampung Malan, Dangi, Johol, Negeri Sembilan oleh kenderaan dari Ibu pejabat Polis (IPD) Kuala Pilah.

Maznah sebelum itu terkandas di kampus sejak penularan wabak pendamik Covid-19 dibenarkan balik ke kampung bersama pelajar lain selepas larangan PKP dilonggarkan oleh kerajaan.

Selepas kisah itu mulai tular, Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah meminta Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Undang Johol untuk meninjau keadaan sebenar.

Menurut wakil dari Yayasan Undang Johol, Maznah tinggal di sebuah khemah usang itu dengan abang kandungnya, Radzuan Ismail bersama isteri dan enam orang anak.

“Radzuan yang bekerja di sebuah kilang sawit di Batu 10 tidak mampu mendirikan rumah baharu.

“Dengan pendapatan RM1,200 sebulan dia perlu menyekolahkan enam orang anak termasuk menanggung pengajian seorang anak sulung berusia 22 tahun di Universiti Islam Malaysia (UIAM) kampus Gombak,” katanya.

Wakil yayasan itu berkata, Maznah bersama abang dan keluarganya terpaksa tinggal dalam khemah usang itu selepas rumah asalnya terbakar dalam satu kejadian pada 20 Oktober 2015.

“Rumah asal itu dibina oleh arwah ayah mereka sebelum dipindah milik kepada Maznah pada 2010. Arwah ayah mereka bagaimanapun telah meninggal dunia pada 2011,” katanya.

Sementara itu menurutnya, pada 2018 Maznah dengan rela hati memberikan rumah dan tanah tersebut kepada abangnya setelah ibunya meninggal dunia.

“Keluarga itu telah memohon untuk mendapat sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskkn (PPRT) daripada pihak berwajib, malangnya, permohonan tersebut tidak menjadi kenyataan sehingga kini,” katanya.

Sementara itu, wakil Yayasan Undang Johol itu berkata, pihaknya akan menyediakan laporan terperinci berkaitan kisah dihadapi oleh Maznah dan abangnya.

“Kami akan menyediakan laporan mengenai karenah birokrasi yang mereka alami melibatkan beberapa jabatan dan agensi kerajaan bagi mendapatkan sebuah rumah PPRT kepada Datuk Undang Muhammed,” katanya.

Beliau berkata, sebagai pemerintah Luak Johol, Datuk Undang Muhammed pasti tidak mahu melihat rakyatnya tinggal dalam keadaan daif seperti itu.

” Datuk Undang Muhammed pasti akan meminta jabatan atau agensi kerajaan terlibat untuk mengambil tindakan segera bagi membantu keluarga malang ini mendapatkan sebuah rumah PPRT,” katanya.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here