Peluang bergelar usahawan virus buster

0
263
Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim (dua kiri) bersama Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan (kiri) melihat simbolik penyerahan peralatan nyah kuman kepada salah seorang penerima.

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

RAUDHAH CITY – Virus Covid-19 yang melanda tanah air menyaksikan perkhidmatan nyah kuman diperlukan oleh banyak pihak membuatkan pihak Malakat Mall membuka peluang kepada usahawan menyertai program virus buster yang dijalankan oleh pihaknya.

Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, pihaknya menjangkakan keperluan untuk perkhidmatan nyah kuman ini akan meningkat khususnya selepas Hari Raya Aidilfitri apabila sekolah mahupun taska mula dibuka.

Katanya, ini kerana antara syarat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan adalah emewajibkan premis-premis itu dinyah kuman sebelum beroperasi.

Menurutnya, pihaknya juga mengharapkan lebih ramai bakal usahawan mengambil peluang dan ruang ini untuk menambah pendapatan.

“Setakat ini kita menerima lebih 100 permohonan dan kira-kira 15 usahawan yang telah membuat pembayaran menerima peralatan. Kita berjaya tawarkan kepada usahawan bagi kumpulan pertama dan akan ada beberapa kumpulan akan datang.

“Mana mungkin penyedia yang sedia ada sekarang ini boleh buat semua itu… Oleh sebab itu, kita tawarkan kepada mereka yang berminat dengan syarat mereka perlu menjadi ahli Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM), jika tidak mereka tidak boleh sertai program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada MBNews selepas majlis kursus usahawan bisnes virus booster di Malakat Mall hari ini.

Mohd. Fadzil berkata, kebanyakkan penyedia perkhidmatan nyah kuman lebih menawarkan perkhidmatan itu sendiri tanpa mewujudkan peluang perniagaan kepada orang lain.

Oleh itu, beliau mahu menjadikan Malakat Mall sebagai sebuah pusat beli belah yang memberi ruang dan peluang kepada bakal usahawan.

“Sebab itu juga, kami mewujudkan pelan atau program keusahawanan virus buster ini yang mampu milik dengan hanya membayar RM5,000 untuk permulaan kos ditambah dengan khidmat sokongan termasuk pemasaran digital dan pelbagai lagi kita bantu.

“Insya-Allah, kita akan sasarkan paling kurang 100 usahawan dalam bulan ini. Kita juga sasar pada penghujung tahun ini adalah 500 usahawan virus buster dapat dilahirkan,” katanya.

Tambah beliau, selain itu, pihaknya juga akan membuat beberapa pekara untuk membantu para usahawan virus buster ini dengan melakukan pemasaran di ibu pejabat ditambah apabila pihaknya menerima permintaan yang besar ia akan diberikan kepada usahawan untuk dilakukan.

Antara yang nyah kuman yang akan digunakan oleh usahawan.

Katanya, dalam masa sama, para usahawan ini juga perlu memasarkan di beberapa platform yang dilakukan secara berjemaah.

Ditanya mengenai usahawan mahu menyertai namun tiada memilik modal sebanyak RM5,000, Mohd. Fadzil menjelaskan, mereka boleh gunakan platform lain seperti TEKUN Nasional sebagai contoh untuk memohon membiayai menjadi usahawan buat masa ini.

Beliau menambah, perkhidmatan nyah kuman ini berada berada di sektor servis yang mempunyai margin sangat tinggi dan risikonya sangat rendah kerana tiada barangan yang mudah rosak.

“Kami akan memberi peralatan termasuk dua set mesin dan bahan nyah kuman yang bertahan dalam tempoh satu bulan untuk diguna pakai ketika menjalankan servis di premis pelanggan.

“Selain itu, apa yang penting adalah mereka dapat bimbingan perniagaan daripada saya sendiri dan kita juga ajar bagaimana untuk menguruskan kewangan peribadi, pelan perniagaan, target dan kita ada sistem kita berikan kepada usahawan-usahawan kita.

“Malah, kita juga memberikan khidmat sokongan terus daripada pasukan Malakat Mall dan Brainy Bunch yang mempunyai kepakaran masing-masing,” katanya. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here