
CYBERJAYA – Pemandu pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux yang memandu secara melulu dan dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol di kawasan tapak peniaga di Bukit Sentosa, Hulu Selangor semalam akan disiasat di bawah Akta 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, lelaki tempatan berbangsa Cina itu juga akan disiasat di bawah Seksyen 90 Akta Polis dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Beliau berkata, permohonan reman ke atas suspek akan dibuat hari ini.
“Ekoran daripada kejadian tersebut pihak polis telah menahan seorang lelaki Cina warga tempatan di Balai Polis Bukit Sentosa. Suspek bekerja sebagai pemborong tayar dan berumur 32 tahun.
“Semakan rekod jenayah mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau. Hasil siasatan awal, pihak polis mendapati suspek dipercayai dalam keadaan mabuk semasa kejadian dan telah melanggar gerai serta pengunjung yang berada di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, dua klip video sebuah kenderaan jenis Hilux dipandu secara melulu merempuh orang ramai yang sedang membeli makanan untuk berbuka puasa tular dalam media sosial

Dalam klip video itu turut memaparkan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bersama orang awam melemparkan batu dan objek keras untuk menghentikan kenderaan tersebut.
Dalam pada itu, Noor Azam berkata, setakat ini seramai lima orang awam disahkan mengalami kecederaan akibat kejadian tersebut.
Katanya, mangsa terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berbangsa Melayu.
“Kesemua mangsa mengalami luka-luka ringan dan mendapat rawatan sebagai pesakit luar.
“Dalam kejadian ini dua buah motokar, dua buah motosikal dan dua buah khemah penjaja telah dilaporkan rosak,” ujarnya.
Sementara itu, beliau meminta mana-mana saksi tampil ke hadapan bagi membantu siasatan.
Selain itu, katanya, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang andaian negatif ke atas peristiwa tersebut dan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pihak polis.-MT