Pemandu mabuk: Cadangan pindaan Akta 333 dibawa ke sidang Parlimen

0
228

CYBERJAYA – Kerajaan akan mengambil tindakan tegas berhubung kes kemalangan maut pengguna jalan raya membabitkan pemandu mabuk yang semakin bertambah mutakhir ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) , Datuk Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin berkata, langkah segera yang akan diambil termasuk memastikan cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang dimuktamadkan oleh Kementerian Pengangkutan dibawa ke persidangan Parlimen dalam masa terdekat.

Beliau berkata, pindaan yang dibuat bukan sahaja membabitkan peruntukan berkaitan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian iaitu Seksyen 44 (Akta 333), tetapi juga memandu di bawah pengaruh minuman yang memabukkan mengikut Seksyen 45 akta sama walaupun tidak terbabit dalam apa-apa kemalangan.

“Kerajaan juga amat menyokong cadangan Kementerian Pengangkutan untuk menetapkan hukuman penjara mandatori terhadap pemandu yang ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk (Seksyen 45) mengikut peruntukan sedia ada masih merupakan kuasa budi bicara mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Takiyuddin berkata, dengan meningkatkan kadar denda dan hukuman penjara selepas pindaan dibuat, Jabatan Peguam Negara boleh mendakwa pesalah di Mahkamah Sesyen yang mempunyai bidang kuasa yang lebih tinggi.

Sebagai langkah pencegahan, beliau berkata kerajaan akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara supaya kes yang membabitkan kematian angkara pemandu mabuk turut disiasat dan dituduh mengikut Kanun Keseksaan, termasuk Seksyen 302 iaitu menyebabkan kematian dengan sengaja ataupun Seksyen 307 iaitu cubaan membunuh dengan niat.

“Di samping itu, pihak polis juga perlu membantu keluarga mangsa kemalangan maut akibat pemandu mabuk terutama bagi membolehkan mereka membuat tuntutan sivil di mahkamah sebagai hak mereka di sisi undang-undang,” jelasnya.

Dalam pada itu katanya, meskipun kerajaan bertegas dalam isu kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk, ia tidak bermakna kerajaan menafikan hak orang bukan Islam untuk meminum minuman keras.

“Mereka (orang bukan Islam) bebas berbuat demikian selagi mematuhi segala peruntukan undang-undang yang berkaitan dengannya,” kata Takiyuddin. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here