Pemandu mabuk: Dimanakah pengakhirannya

0
189
Kejadian berlaku apabila pemandu kereta jenis Toyota CHR yang datang dari arah Semambu memasuki jalan menghala ke pelabuhan secara melawan arus. – Foto ihsan pembaca

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

Umum mengetahui arak adalah haram bagi umat islam dan undang-undang Malaysia turut menjatuhkan hukuman berat ke atas mereka membawa kenderaan dalam keadaan mabuk.

Semua mengetahui bahaya minuman keras membuatkan orang yang meminumnya akan hilang pertimbangan diri dan boleh melakukan pekara luar biasa.

Ini termasuk kejadian kemalangan maut yang melibatkan seorang anggota polis ketika bertugas sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanggar oleh pemandu mabuk baru-baru ini.

Kejadian meyebabkan seorang anggota polis maut dirempuh dan dihempap sebuah pacuan empat roda ketika sedang bertugas dalam sekatan jalan raya Ops Covid-19 susulan PKP pada 3 Mei lalu.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, mangsa, Koperal Safwan Muhammad Ismail yang juga anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang dirempuh berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan,Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Selangor.

Kemalangan menyebabkan mangsa berusia 31 tahun dan berasal dari Ipoh, Perak maut serta merta di lokasi kejadian.

Anggota polis yang turut maut kerana dirempuh oleh kenderaan yang dipandu pemandu mabuk.

Ini merupakan bukti kukuh bahawa minum minuman keras boleh mengundang bencana kepada insan tidak berdosa.

Malah dalam kemalangan maut berlaku malam tadi membabitkan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki mabuk memasuki laluan bertentangan di Jalan Kuantan By-Pass.

Kejadian itu turut mengakibatkan seorang kakitangan Alam Flora berusia 41 tahun maut akibat pemandu mengambil minuman keras di rumah rakannya.

Sudah berulang kali kejadian kemalangan seperti ini berlaku sehingga menyebabkan kematian kepada orang yang tidak berdosa.

Kemalangan turut melibatkan beberapa kenderaan lain untuk mengelak kenderaan dipandu melawan arus oleh suspek. – Foto ihsan pembaca

Kejadian seperti ini yang berulang kali berlaku sebenarnya mengundang rasa amarah di kalangan rakyat jelata yang mahukan tindakan tegas diambil ke atas pelaku.

Ini kerana kejadian yang berlaku bagaikan tiada penghujungnya dan kerap berlaku sehingga melibatkan mereka yang terlibat boleh terlepas begitu sahaja dengan membayar denda selepas dijatuhkan hukuman ke atas mereka.

Namun penulis mengharap tindakan yang diambil oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong yang mahu meneliti semua cadangan berkaitan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 memberi sinar baru.

Ia berkaitan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah atau memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan atau meragut nyawa pengguna jalan raya lain.

Ka Siong seperti dipetik Malakat Tribune berkata, pada 1 Jun 2020, pihaknya akan memanggil satu sesi taklimat di MOT bersama JPJ untuk segera meneliti dan menyemak cadangan pindaan Akta berkaitan.

Ka Siong yang mahu meneliti semua cadangan berkaitan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pindaan akta tersebut mestilah dimuktamadkan dalam pertengahan Jun ini dengan mengambilkira pandangan orang ramai melalui kajian soal selidik yang sedang dijalankan, sebelum ia dibentangkan di dalam mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya.

Penulis mahukan ia benar-benar terlaksana kerana terlalu ramai mangsa yang terlibat dengan kejadian kemalangan membabitkan pemandu mabuk.

Penulis juga mengharapkan hukuman gantung lesen memandu, penjara dan sebatan dilihat ‘pembalasan’ terbaik buat mereka memandu dalam keadaan mabuk yang menyebabkan ada mangsa kehilangan ibu ayah, anak mahupun adik beradik dalam sekelip mata gara-gara kesilapan sengaja ‘dicari’.

Oleh itu, penulis meminta orang ramai untuk mengisi soal selidik yang dijalankan oleh MOT melalui Bahagian Logistik dan Pengangkutan Darat (BLPD) di link ini https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSdFO_IIrh6otCgdFLcr9p1-cggYWWfirK6bQu90AWdBhxFVaA/viewform

Ia bagi membantu kerajaan untuk membuat pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 dalam usaha menetapkan hukuman baharu kepada pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan maut.

Penulis juga berharap kerajaan dapat bertindak dan komited demi pembelaan kepada mangsa korban dalam kemalangan maut dan juga menegakkan keadilan untuk keluarga mangsa! – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here