Pembela tetap mahu kad pengenalan ditukar

0
429

CYBERJAYA – Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) tetap dengan keputusan untuk menggesa kerajaan memperkenal kad pengenalan (MyKAD) baharu bagi mengatasi isu sindiket pemalsuan dan penjualan MyKAD.

Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahaya berkata, kelulusan permohonan MyKAD baharu itu mesti melibatkan beberapa agensi dan penguatkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai pemantau ketelusan proses kelulusan permohonan.

“Selain syarat-syarat wajib lain semasa warganegara membuat permohanan seperti mengemukakan sijil surat beranak diri dan pasangan ibu bapa, sijil berhenti sekolah peringkat rendah atau menengah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Pembela melancarkan petisyen mendesak supaya kad pengenalan baharu diperkenalkan bagi mengatasi isu pemalsuan MyKAD.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, pihaknya turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Dalam Negeri dan PDRM kerana mendengar keluhan rakyat berhubung sindiket penjualan dan pemalsuan MyKAD.

Namun begitu, katanya, pihaknya hairan bagaimana sebuah laman web yang menyiarkan penjualan MyKAD dan telah beroperasi sejak tahun lalu gagal dikesan Jabatan Pendaftaran Negara (JPM).

“Selepas Pembela mewakili rakyat Malaysia membangkitkan isu ini, kemudian baru disedari oleh JPN yang telah membuat laporan polis berhubung laman web tersebut.

“Di sini, kita boleh nampak di mana peranan JPN, adalah berfungsi sekadar pendaftaran semata-mata atau termasuk penguatkuasaan mempertahankan kedaulatan negara melalui MyKAD,” ujarnya.

Sementara itu, Aminuddin berkata, selain isu tersebut, Pembela dan seluruh rakyat Malaysia masih menanti kenyataan rasmi daripada Ketua Pengarah Imigresen berhubung ‘kehilangan’ 100,000 pelancong China dan India yang kini tiada rekod keluar dari Malaysia. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here