
Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM
CYBERJAYA – Pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew meluahkan kesedihan dan berkongsi berita pemergian warga emas dari Kedah yang pernah dibantunya sebelum ini.
Menurut Ustaz Ebit dalam akaun Facebook miliknya, warga emas yang dikenali sebagai Pak Aq menghembuskan nafas terakhirnya pagi tadi.
“Sayu hati rasa. Innalillahi wa inna ilaihi rajiun. Baru dapat berita Pak Aq Kedah meninggal dunia pagi ini. Banyak perkara sempat kami kongsikan bersama. Keinginan, hajatnya, dan doanya masa awal PKP hari tu
“Ingin menyediakan tempat tinggal buat isteri dan anak cucunya yang baik dan selesa. Ingin hantar cucu ke tahfiz dan sekolah yang baik. Sayu masa dapat angkat Pak Aq bawa ke ambulans masa tu.
“Sempat pindah ke rumah baharu. Saya cakap padanya mungkin esok lusa kita dah tiada. Baki hidup ini kita siapkan bekalan dengan mendidik anak cucu dengan Islam dan kebaikan,” katanya.
Pada masa sama, Ebit berkata kenangan semasa membantu warga emas itu menjadi pelajaran kehidupan buat dirinya dan krew yang terlibat.
“Saya cakap padanya mungkin esok lusa kita dah tiada. Baki hidup ini kita siapkan bekalan dengan mendidik anak cucu dengan Islam dan kebaikan.
“Pak Aq orang baik, semoga segala ujian dan kesusahan yang Pak Aq lalui menjadi asbab syurga untuknya. Allah sayang Pak Aq..Semoga Allah ampuni dan cucuri rahmat ke atas jenazah beliau. Allah jagakan keluarganya,” katanya.