Pengorbanan petugas barisan hadapan dibalas

0
383

CYBERJAYA – Setiap kali bulan Ramadan, bubur lambuk sentiasa menjadi pilihan dalam kalangan penduduk terutama umat Islam untuk dijadikan juadah berbuka puasa.

Tahun ini Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi (Bangiku) meneruskan tradisi tersebut dengan menyerahkan bubur lambuk dan kurma kepada petugas barisan hadapan dalam menghargai pengorbanan mereka yang bertugas menangani wabak Covid-19.

Yang Dipertua Bangiku, Hamdi Haron berkata, sebanyak 500 pek makanan itu dihasilkan untuk diberikan kepada warga kawasan itu.

Tambahnya, pihaknya juga turut mengagihkan makanan tersebut kepada beberapa agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam.

“Aktiviti memasak bubur lambuk itu disertai 12 orang yang terdiri daripada ahli persatuan Bangiku.

“Tujuan pengagihan itu sebagai menghargai dan membalas jasa mereka sebagai petugas barisan hadapan menjaga kebajikan penduduk warga Bandar Baru Bangi yang ditimpa kesusahan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Tambahnya, antara kawasan yang menerima agihan itu ialah Seksyen 7 Bandar Baru Bangi, Seksyen 2 Bandar Baru Bangi, Balai Bomba Bandar Baru Bangi dan Balai Polis Bandar Baru Bangi.

Tambahnya, Markas Operasi Angkatan Pertahanan Awam Hulu Langat serta kawasan sekatan jalan raya di Tol Bandar Baru Bangi dan sekatan Lebuh Sungai Ramal menghala ke Putrajaya turut menerima makanan tersebut.

Menurutnya, dia diberikan tanggungjawab daripada penduduk setempat melaksanakan aktiviti itu kerana melihat kesusahan, kepayahan, keperitan dialami penduduk dengan hanya membiarkan mereka menempuh situasi ini tanpa sebarang pertolongan. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here