Pengusaha bas sekolah dalam dilema

0
784
Pihak kredit sudah mengeluarkan Surat Tarik Kenderaan, apa yang tinggal dengan pengusaha lagi selain gulung tikar.

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur (PBSSPKL) berada dalam dilema disebabkan ibu bapa pelajar tidak mahu membayar tambang bas sekolah untuk April dan Mei atas alasan cuti akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Pengerusi PBSSPKL, Mohamad Haron Mohamad Sidik, selepas pihaknya berjumpa Menteri Pengangkutan baru-baru ini ada cadangan pihak kerajaan agar ibu bapa membuat bayaran dengan jumlah tertentu bagi menampung kos para pengusaha bas.

“Jika rasa pengusaha bas sekolah berjasa dengan anda (ibu bapa), anda bayarlah ikut kemampuan dan jika rasa pengusaha tidak penting untuk anda, jangan bayar apa-apa pun.

“Tak perlulah cakap pasal halal dan haram,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beberapa minggu lalu media melaporkan pihak PBSSPKL yang berhadapan masalah akibat ibu bapa pelajar enggan membayar tambang bas bakal membawa masalah mereka kepada Menteri Pengangkutan.

Mohd.Haron berkata, persatuan tidak pasti berapa ramai pengusaha yang masih boleh memberi perkhidmatan jika sekolah dibuka semula.

Katanya lagi, rayuan demi rayuan bantuan kewangan telah dimohon tetapi tiada pihak yang melayan ahli PBSSPKL.

“Kami cuba memohon pinjaman mikro kredit Bank Simpanan Nasional (BSN) dan TEKUN Nasional sebanyak RM3,000, RM10,000 dan RM75,000 bersama faedah kosong peratus tetapi ditolak dengan alasan pengusaha ada berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Diberitahu tidak layak kerana pendapatan sebelum ini lebih RM25,000.

“Ibu bapa pula tidak mahu bayar yuran walau telah ditawar potongan 75 peratus. Pihak kredit sudah mengeluarkan Surat Tarik Kenderaan, apa yang tinggal dengan pengusaha lagi selain gulung tikar,” katanya.

Jelasnya lagi, jika ada pengusaha yang masih berminat untuk berniaga bas sekolah, mungkin mereka akan menggunakan van-van haram yang tidak terikat dengan mana-mana peraturan ibu bapa atau kerajaan.

Beliau menambah, untuk situasi menang-menang, bebaskan industri bas sekolah ini daripada kawalan kerajaan.

“Sesiapa yang ada kenderaan seperti motorsikal, kereta, van dan lain-lain, tidak kira usia kenderaan lagi, tidak kira selamat atau tidak, boleh memberi perkhidmatan hantar dan ambil murid-murid sekolah.

“Tak perlu fikir pasal van kuning yang berdaftar dan berlesen ini lagi. Bebas kan sahaja van-van sekolah berdaftar. Jangan diikat dengan apa-apa perjanjian, peraturan dan undang-undang yang hampir membunuh kehidupan pengusaha bas,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here