Peningkatan kes baharu, masyarakat tidak perlu khuatir

0
224

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Masyarakat tidak perlu bimbang walaupun terdapat trend peningkatan kes-kes baharu positif Covid-19 sejak kebelakangan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes baharu itu adalah dalam kalangan kes import dan kes yang dikesan dari lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Masyarakat tidak perlu khuatir mengenai peningkatan kes dalam kalangan kes-kes import ataupun PKPD ini, kerana mereka telahpun awal-awal lagi diasingkan untuk disaring,” jelasnya.

Selain itu, kata Dr. Noor Hisham, aktiviti penularan Covid-19 dalam kalangan masyarakat setempat pula dapat dikenal pasti melalui aktiviti survelan klinikal yang telah lama dijalankan.

“Ini dilaksanakan dengan persampelan pesakit Influenza Like Illness (ILI) dari lokasi sentinel seluruh negara dan pesakit Severe Acute Respiratory Infection (SARI) di semua hospital KKM,” katanya.

Jelas Dr. Noor Hisham lagi, sehingga semalam sebanyak 7,880 saringan Covid-19 dalam aktiviti survelan klinikal telah dijalankan dengan hanya 12 kes dikesan daripada ILI (0.81 peratus) dan 54 kes dikesan daripada SARI (0.84 peratus).

“Selain itu, saringan Covid-19 juga dilaksanakan ke atas semua pesakit sebelum pembedahan kecemasan dan separa kecemasan di hospital KKM sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19 dalam kalangan petugas kesihatan,” katanya.

Tambah beliau, sehingga semalam juga terdapat hanya lima kes dikesan positif Covid-19 daripada 5,435 jumlah pesakit yang disaring iaitu hanya 0.09 peratus.

“Justeru, adalah terbukti aktiviti pendekatan tertumpu yang dijalankan
setakat ini telah berkesan dalam mengesan dan membendung penularan wabak Covid-19 di negara ini.

“Namun, ia memerlukan tindakan selari rakyat untuk patuh kepada semua arahan dan nasihat kesihatan kerajaan, ” katanya. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here