Penjual ‘ubah’ daging babi seakan daging lembu

0
334
Polis Bandung menunjukkan bukti daging babi diubah seakan daging lembu. Foto: Detik.Com

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

BANDUNG – Polis menahan empat lelaki dipercayai ‘mengubah’ daging babi seakan daging lembu lalu menjual dengan harga murah bagi mengaburi pihak berkuasa.

Memetik laporan Detik.com, Ketua Polis Bandung, Komisioner Kanan Hendra Kurniawan berkata, keempat-empat lelaki berusia 38 hingga 54 tahun ditahan secara berasingan di sekitar Bandung.

“Suspek menggunakan natrium bikarbonat agar daging babi yang asalnya hitam pekat menjadi warna merah- kemerahan.

“Secara fizikal daging babi ini lebih pucat tapi daging lembu lebih merah. Dengan proses pakai natrium bikarbonat, daging babi ini menjadi lebih merah dan hampir seperti daging lembu,” katanya.

Menurutnya, kegiatan ini telah dijalani sejak setahun lalu dan pengedaran daging babi di beberapa lokasi di Bandung terutama di pasar-pasar.

“Daging ini diedarkan kepada pembeli dan penjual bakso di tiga daerah iaitu Baleendah, Majalaya dan Banjaran,” kata Hendra.

Selain itu, semasa penangkapan di rumah suspek, polis berjaya mendapatkan bukti 500kg daging babi yang disimpan di dalam peti penyejuk daging dan merampas 100kg daripada peruncit.

“Selama setahun, suspek sudah menjual kira-kira 63 tan. Dalam satu minggu mereka menghantar 600kg kepada pembeli dan peruncit.

“Mereka menjual harga daging babi dengan harga yang jauh lebih murah daripada harga daging biasa. Harga daging lembu umumnya sekitar Rp115,000 (RM43) hingga Rp130,000 (RM38) sekilogram tetapi mereka menjual daging babi dengan harga tidak masuk akal iaitu Rp60,000 (RM17) dijual kepada peruncit.

“Peruncit menjual kepada pembeli Rp75,000 (RM22) hingga Rp90,000 (RM26),” kata Hendra.

Hendra juga mengingatkan orang ramai tidak perlu panik dan meminta mereka berwaspada apabila menjumpai daging yang dijual dengan harga murah di pasaran.

“Saya harap warga tidak perlu risau, kita telah berjaya memberkas suspek dan merampas bekalan daging tetapi pada masa akan datang, pembeli diminta lebih berhati-hati terutama melihat harga daging murah,” katanya. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here