
Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI
CYBERJAYA – Faktor yang mempengaruhi kejayaan seseorang usahawan Muslim adalah dengan membayar zakat.
Pengasas Kumpulan OTAi, Dr. Suhaimi Abas berkata, sebagai Muslim seseorang itu perlu memerangi usahawan yang tidak membayar zakat kerana kumpulan itu membiakkan satu keturunan yang akan merosakan orang lain.
Menurutnya, tidak dinafikan apabila seseorang itu mula berniaga semangat juangnya tinggi namun sampai satu peringkat berdepan dengan ujian mereka akhirnya mengalah.

“Ramai daripada kita menganggap apabila berniaga, keuntungan yang diperoleh semuanya milik kita.
“Sebenarnya itu rezeki yang Allah beri dan ujian untuk kita. Apa yang mereka perlu buat jaga zakat. Itu yang penting. Rahsia kita adalah kita jaga zakat,” katanya berkongsi rahsia kejayaan menjadi usahawan Muslim berjaya termasuklah peniaga burger.
Pemilik burger jenama OTAi itu berkata, hanya menjaga solat dan berdoa sahaja tidak cukup namun perlu pelihara sebahagian harta yang dimiliki, dan membelanjakan wang dari sumber yang bersih.
Jelasnya, zakatlah yang membersihkan harta seseorang dan baharulah apa yang dia makan hak dirinya sebenar.
“Jika dia (seseorang) memakan hak milik asnaf, fakir dan miskin tidak baiklah. Sebab itu perlu bayar zakat, perlu belajar cari ilmu dan ada guru,” katanya.
Mengulas mengenai konsep dakwah yang diamalkan, Suhaimi mengakui selain mencari peluang perniagaan baharu konsep dakwah yang diterapkan membantu melahirkan sebuah komuniti usahawan Muslim di bawah Kumpulan OTAi
Katanya, Kumpulan OTAi sentiasa mendidik jiwa setiap usahawannya kembali kepada Islam termasuk meninggalkan laranganNya.