Perdana Menteri arah mudahkan pembayaran elaun khas ‘frontliner’

0
142
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

CYBERJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua agensi yang terlibat dalam memerangi Covid-19 diarahkan untuk
memudahkan urusan pembayaran elaun khas petugas barisan hadapan masing-masing bagi memastikan tidak ada yang ketinggalan dan bayaran dibuat secepat mungkin.

Perdana Menteri berkata demikian ketika mengadakan sidang video bersama barisan hadapan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia, dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Turut sama dalam sidang video itu ialah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh petugas barisan hadapan yang telah berkorban masa dan tenaga untuk mengawal situasi jangkitan Covid-19 di dalam negara terutama ketika Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang tiba,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh semua petugas barisan hadapan.

Pada masa sama, beliau turut mendoakan agar semua petugas barisan hadapan terus cekal mendepani wabak Covid-19.

“Sumbangan keringat mereka sejak beberapa bulan lalu dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 telah melandaikan lengkungan Covid-19.

“Ini sekaligus meletakkan Malaysia sebagai antara negara yang mempunyai kawalan serta pengurusan kes jangkitan Covid-19 yang terbaik di dunia,” ujarnya.

Sementara itu, Perdana Menteri turut meminta
rakyat Malaysia secara keseluruhannya tampil ke hadapan dan mengambil tanggungjawab untuk melindungi keluarga dan memelihara kawasan tempat tinggal masing-masing daripada jangkitan Covid-19.

“Semua ini tidak mustahil untuk dilaksanakan dan apa yang paling penting untuk mereka lakukan ialah mematuhi segala peraturan dan prosedur operasi standar (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Saya amat berharap agar kita semua dapat bekerjasama membantu para petugas barisan hadapan untuk memastikan rantaian jangkitan Covid-19 ini akhirnya dapat kita putuskan. Insya-Allah,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here