Perintah berkurung 24 jam di Arab Saudi ketika sambutan Aidilfitri

0
183

JEDDAH – Arab Saudi akan melaksanakan perintah berkurung selama 24 jam sepanjang cuti lima hari perayaan Aidilfitri yang akan bermula pada 23 Mei ini.

Memetik laporan Arab News, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi berkata, langkah itu dibuat bagi memantau penularan pandemik Covid-19.

Katanya, sehingga tempoh itu, semua aktiviti ekonomi akan berjalan seperti biasa dan orang ramai dibenarkan bergerak bebas antara pukul 9 pagi hingga 5 petang setiap hari, kecuali di Mekah yang masih berada di bawah perintah berkurung sepenuhnya.

Sebelum itu, kementerian berkenaan melaksanakan perintah berkurung serta-merta selama 24 jam ke atas perbandaran Baish di wilayah Jazan.

Orang ramai di wilayah itu hanya dibenarkan meninggalkan kediaman masing-masing untuk membeli barangan penting antara pukul 9 pagi dan 5 petang sahaja.

Semalam, Arab Saudi merekodkan kadar pemulihan tertinggi sejak pandemik berkenaan bermula hampir dua bulan lalu.

Kementerian Kesihatan merekodkan 2,520 kes yang sembuh, iaitu yang tertinggi setakat ini sejak pandemik itu bermula, menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih kepada 15,257.

Namun begitu, jurucakap kementerian, Dr. Mohammed Al Abd Al Aly mengulangi amaran untuk orang ramai agar tidak menganjurkan sebarang perhimpunan.

Sementara itu, semalam Arab Saudi mengesahkan 1,911 jangkitan baharu, menjadikan jumlah keseluruhan 42,925 kes.

Sehingga kini terdapat 27,404 kes aktif dengan 147 daripadanya berada dalam keadaan kritikal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here