‘Perjuangan BMF untuk satukan umat Islam’

0
937

RAUDHAH CITY – Berbicara tentang Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) pasti ramai yang ingin mengenali individu-individu yang menjadi tunjang koperasi khusus untuk umat Islam ini.

Edisi ini, kita ingin mengenali ‘orang nombor dua’ atau Naib Pengerusi KoPPIM iaitu, Dr. Taha Mohd. Omar yang merupakan Naib juara program Pencetus Ummah (PU) musim ketiga.

Untuk yang belum tahu, PU Taha berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengurusan Pembangunan Islam (Pengkhususan Ekonomi) dari Universiti Sains Malaysia (USM).

Beliau dilahirkan di Hougthon, Michigan, Amerika Syarikat (AS) dan dibesarkan di Pulau Pinang. Antara jawatan lain yang disandang ialah Ketua Pegawai Eksekutif Raudhah College Cyberjaya.

Berikut merupakan intipati temubual Malakat Tribune bersama Dr. Taha, beliau mengupas mengenai KoPPIM dan berkhidmat dengan koperasi berkenaan tanpa sebarang elaun dan bayaran.

Langkah disusun Allah

Saya bermula dan dilantik sebagai Naib Pengerusi KoPPIM pada 2019, ramai bertanya adakah saya pilihan terbaik atau pilihan yang tepat? Jawapannya mudah, tiada manusia sempurna tetapi, pastinya setiap langkah didunia ini telah disusun oleh Allah.

Tetapi dalam masa sama, latar belakang pendidikan saya adalah Pengurusan Pembangunan Islam (Pengkhususan Ekonomi). Jadi, dalam bidang itu kita dapat lihat ada keserasian dalam pentadbiran di KoPPIM kerana hasratnya untuk kembalikan ekonomi dari sistem kapitalis kepada sistem Islam berlandaskan Al-Quran dan Sunnah.

Rakyat berdepan masalah ekonomi peribadi

Sekarang kita boleh lihat umat Islam di seluruh dunia, kita ambil contoh di Malaysia yang berdepan masalah ekonomi peribadi. Mereka bukan pilih sendiri untuk masalah itu tetapi, akibat sistem ekonomi sedia ada yang tidak mengizinkan mereka beralih ke arah ekonomi yang lebih sesuai.

Perjuangan bersama Pengerusi KoPPIM

Saya sebelum ini bersama Brainy Bunch selama empat tahun dibawah Coach Fadzil (Mohd. Fadzil Hashim), selain itu, hubungan saya dengan Pengerusi KoPPIM, Datuk Nadzim Johan (Toqqi) bukan baru, bahkan kali pertama kami berjumpa ialah di set rancangan di TV Al-Hijrah sejak 10 tahun lalu.

Ketika itu saya masih muda, Toqqi memperjuangkan bagaimana untuk selesaikan masalah umat Islam yang terikat dengan keberhutangan malah masalah yang lebih besar hutang yang terikat dengan ‘interest’. Ini isu yang ingin diketengahkan, ia tidak dapat diselesaikan secara individu tetapi, boleh dilakukan jika bersatu atas platform perjuangan Islam.

Sekarang, siapa yang pegang ekonomi dia akan pegang situasi politik dan perundangan, ekonomi tunjang segalanya termasuk sosial budaya negara.

Kumpul dana dalam KoPPIM

Sejak tahun lalu, KoPPIM mula bergerak aktif. Sasaran kita adalah sejuta ahli koperasi, dengarnya satu jumlah yang besar tetapi, jangan risau. Jika dalam kiraan matematik, Malaysia ada 34 juta rakyat dan 50 peratus atau 17.5 juta adalah umat Islam. Dalam mencapai sasaran itu, kita hanya perlukan sejuta, jadi tidak sampai lima peratus. Jadi, umat Islam perlu tolong kita, ini untuk pulangan semula kepada mereka.

Perjuangan ini bertetapan dengan perjuagan Rasullah ketika sampai di Madinah bersama para sahabat yang bijak ekonomi seperti Abdul Rahman Bin Auf yang menyarankan agar ambil alih bazar dan pasar di kawasan berkenaan bagi mewujudkan ekonomi baharu.

Sama macam KoPPIM, kita kumpul dana dalam koperasi…dengan dana itu kita mahu wujudkan perniagaan baharu untuk anda jadi usahawan, jika tidak berminat untuk jadi usahawan anda juga boleh menjadi pelabur untuk kongsi manfaat bersama.

Keahlian KoPPIM

Setakat ini, ahli KoPPIM adalah seramai 17,000 dan daripada jumlah itu 9,000 adalah ahli berbayar atau lebih tepat yang telah membeli ‘syer’. Setakat ini juga, dana yang telah terkumpul ialah sebanyak RM4.7 juta.
Pendaftaran sebagai ahli KoPPIM amat mudah, semuanya dibuat secara dalam talian di laman web rasmi www.koppim.com.my dan segala garis panduan boleh didapati di laman web berkenaan. Pendaftaran sebagai ahli ialah RM30 dan minimum pelaburan RM100. Untuk syer pula minimum RM500 dan ahli boleh membuat potongan RM100 untuk mencapai nilai satu syer.

Tiga pelaburan utama KoPPIM

Secara dasarnya, KoPPIM membuat pelaburan dalam tiga sektor utama iaitu pendidikan, perumahan dan perniagaan. Untuk pendidikan, KoPPIM dekat dengan Brainy Bunch yang mempunyai 103 cawangan di Malaysia dengan kapasiti pelajar sehingga 9,000 orang dan telah beroperasi selama 11 tahun di Malaysia. Pulangan Brainy Bunch pada 2018 atau keuntungan kasar adalah RM98 juta, berdasarkan angka itu pulangannya sangat lumayan.

Dalam sektor perumahan, KoPPIM melabur dalam projek Raudhah Ville iaitu sebahagian besar dalam projek Raudhah City. Pihak pengurusan menyasarkan untuk mewujudkan 100 kawasan Raudhah City di Malaysia yang menyasarkan. Untuk projek Raudhah City pertama di Cyberjaya bermula dengan 300 buah rumah dan hampir 180 telah terjual manakala 50 unit dikhususkan untuk program pusat tahfiz. Harga rumah berkenaan antara RM800,000 sehingga RM1.2 juta.

Dalam perniagaan pula, KoPPIM membuat pelaburan bersama Malakat Mall. Ini perjuangan BMF untuk satukan umat Islam dengan meletakkan produk mereka di pusat beli belah berkenaan, sebelum ini peniaga BMF ramai tertindas. Pihak pengurusan menyasarkan untuk mewujudkan 100 Malakat Mall di Malaysia dan pada tahun ini sasar 10 Malakat Mall bermula di Cyberjaya dan seterusnya di Masjid Tanah, Melaka dan negeri-negeri lain. Untuk Malakat Mall kita sasarkan 10 Malakat Mall untuk beri keuntungan sebanyak RM1 billion. Kalau ada 100 Malakat Mall akan jadi RM10 billion dan dari jumlah itu jika untung bersih 30 peratus maka, 10 peratus akan diberikan kepada ahli KoPPIM.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here