
SEMENYIH- Persediaan menyambut Aidilfitri esok tetap meriah di sini ketika negara masih menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Seawal pukul 7 pagi, ratusan penduduk sekitar kawasan Semenyih keluar membeli keperluan untuk menyediakan juadah lebaran di Pasar Pekan Semenyih di sini.
Mereka beratur panjang untuk memasuki pasar berikutan pengenalan prosedur operasi standard (SOP) yang mengehadkan kemasukan pelanggan untuk menjaga jarak sosial.

Tinjauan mendapati meskipun perlu beratur, orang ramai tetap mematuhi penjarakan sosial mengikut garisan yang ditanda selain perlu memeriksa suhu badan masing-masing.
Menurut Syahirah Abdul Rashid, 32, tahun ini dia sekeluarga tidak pulang beraya di kampung halaman di Kota Bharu, Kelantan dan kali ini juga kali pertama beraya di perantauan.
“Bila tak balik, kena masak sendiri untuk keluarga, sebelum ini di kampung masak ramai-ramai. Jadi hari ini, saya datang ke Pasar Pekan Semenyih untuk beli barang-barang masakan.
“Cadangan juadah pagi raya, rendang ayam dan ketupat dan nasi impit. Saya juga beradang untuk buat ayam masak merah,” katanya ketika ditemui Malakat Tribune di sini hari ini.

Sementara itu, Siti Fadzliza Harun, 42, berkata, dia tidak kisah beratur panjang kerana pasar berkenaan mematuhi SOP yang telah ditetapkan untuk keselamatan semua pelanggan.
Katanya, dia mula berbaris pada pukul 7 pagi dan tidak kisah kerana pasar itu berdekatan rumah dan banyak pilihan barangan terutama ketika menjelang Hari Raya Aidilfitri.
“Semalam saya membeli barang keperluan membuat rendang seperti ayam dan daging dan harganya amat berpatutan dan paling penting kami tidak bimbang untuk berbelanja ,” katanya.
Dalam pada itu, Amzahari Zakaria, 45, berkata dia berbaris semata-mata untuk membeli santan segar bagi masakan rendang kerana santan di pasar itu berkualiti dan harganya lebih murah berbanding luar.
“Saya tidak bimbang sekiranya bekalan ayam dan daging habis dijual di sini kerana beberapa hari lepas sudah membeli di ‘mantai’. Harganya juga berpatutan serta mudah tanpa bersesak-sesak,” katanya.-MT