Petugas kesihatan dapat ‘hadiah’ cuti rehat

0
214
Seorang petugas KKM melakukan ujian saringan Covid-19

CYBERJAYA – Selepas hampir lima bulan bertungkus lumus merawat pesakit Covid-19, petugas barisan hadapan di Kementerian Kesihatan (KKM) boleh menarik nafas lega sedikit apabila mereka akan diberikan cuti rehat secara bergilir-gilir selepas ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ini kerana jumlah kes Covid-19 sudah semakin menurun termasuk penggunaan wad unit rawatan rapi (ICU) di hospital.

“Barisan hadapan KKM sudah bekerja siang dan malam sudah lima bulan dah sudah tak kenal mana hari minggu dan mana hari kerja.

“Sekarang kita sudah lihat hasil daripada pengorbanan mereka kes Covid-19 makin berkurangan, dalam masa seminggu dua ini kita akan memberikan ‘time off’ untuk warga KKM secara bergilir,” katanya dalam sidang akhbar harian Covid-19 hari ini.

Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham berkata, pihaknya juga akan menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada petugas-petugas barisan hadapan tersebut supaya mereka dapat menyediakan diri sekiranya berlaku peningkatan kes Covid-19.

“Kita sentiasa membuat persediaan menghadapi situasi yang buruk tetapi pada masa sama kita mengharapkan keputusan yang baik dapat dicapai.

“Ini juga merupakan cabaran bagi kita sebagai barisan hadapan, apa yang pasti kita merupakan barisan pertahanan terakhir untuk mengelakkan daripada berlakunya satu bencana besar kepada negara,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, dalam tempoh seminggu dua ini juga pihaknya akan membuat perancangan baharu dari segi tenaga kerja, peralatan di hopsital, makmal dan kesihatan awam.

“Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan lain seperti polis, tentera, Rela, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain yang bekerja keras bagi memastikan pencapaian kita hari ini,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here