PKPB: 43.6 peratus rakyat kembali bekerja

0
121

CYBERJAYA – Tan Sri Muhyiddin berkata, seramai 6.64 juta atau 43.6 peratus pekerja telah kembali bekerja sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei lalu bagi membuka semula sektor ekonomi selepas dihentikan bagi membendung Covid-19.

 Perdana Menteri berkata,  beliau menjangkakan jumlah itu akan meningkat dalam tempoh beberapa minggu yang akan datang. 

“Insya-Allah, dengan peningkatan jumlah pekerja yang kembali bekerja dalam pelbagai sektor industri dan perniagaan, kegiatan ekonomi di negara kita akan dapat digerakkan semula. 

“Yang bekerja akan dapat gaji. Yang berniaga akan beroleh pendapatan dan keuntungan. Hasil pendapatan ini boleh dibelanjakan dalam sistem ekonomi kita yang akhirnya menjana pertumbuhan ekonomi negara,” katanya ketika berucap dalam Perutusan Khas hari ini.

Muhyiddin menambah,  pelaksanaan PKPB bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berjalan lancar dan teratur.

Beliau berkata, pelaksanaan itu menyaksikan tidak berlaku kesesakan luar jangka di stesen-stesen pengangkutan awam seperti transit aliran ringan (LRT), MRT, bas, restoran dan lain-lain menyaksikan rakyat mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan.

“Sektor-sektor ekonomi juga telah mula dibuka. Mereka yang terkandas di kampung halaman atau di tempat-tempat lain telah mula balik ke rumah masing-masing. Pelajar-pelajar universiti yang terkandas di kampus juga telah pulang ke pangkuan keluarga masing-masing,” katanya. 

Beliau turut mengucapkan kepada kerajaan-kerajaan negeri yang memberi kerjasama kepada kerajaan Persekutuan dalam usaha membuka semula sektor-sektor ekonomi di negeri masing-masing. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here