
CYBERJAYA – Seramai 471 individu dikenakan kompaun oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam atas pelbagai kesalahan mengingkari prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, satu daripada 300 kompaun yang dikeluarkan itu adalah yang diberikan atas kesalahan ziarah Aidilfitri.
“Sebanyak 171 kompaun dikeluarkan di lapangan dan daripada jumlah itu, sebanyak 76 kompaun dikeluarkan di sekatan jalan raya.
“PDRM turut menahan 114 individu semalam, atas kesalahan ingkar arahan PKPB. Daripada jumlah itu, seramai 108 individu direman, manakala enam lagi diberi jaminan polis.
“Semua pihak diingatkan untuk patuh SOP dan peraturan ditetapkan. Kerjasama dan kawalan kendiri anda amat penting dalam memerangi wabak COVID-19,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya, hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 71,830 pemeriksaan semalam bagi memantau pematuhan SOP (PKPB) di seluruh negara.
“PDRM juga telah mengenakan 147 Sekatan Jalan Raya (SJR) Rentas sempadan negeri di seluruh negara dan memeriksa 240,268 kenderaan.
“Sebanyak 4,826 pasar raya, 5,360 restoran, 800 penjaja dan 1,151 kilang serta 3,826 bank telah diperiksa.
“Pemeriksaan juga telah dibuat di 2,119 terminal pengangkutan darat, 241 terminal pengangkutan air dan 140 terminal pengangkutan udara,” katanya.