PKPB bukan tiket bergerak bebas

0
97

KUALA LUMPUR- Perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang akan bermula Isnin ini dengan memberikan beberapa kelonggaran, bukan ‘tiket’ untuk orang ramai bergerak bebas, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, orang ramai diminta bersabar dan sentiasa membuat pertimbangan sebaiknya ketika ingin keluar rumah kerana penularan Covid-19 masih berterusan.

Beliau turut menasihatkan hanya mereka yang benar-benar perlu keluar sama ada untuk bekerja di sektor dibenarkan, membeli barang keperluan, mendapatkan rawatan kesihatan, selain mempunyai kaitan dengan kebenaran kerajaan, boleh bergerak untuk menjalankan aktiviti harian mereka.

“Keputusan yang dibuat kerajaan ini bukanlah satu jaminan penyakit ini sudah berjaya diatasi, namun kerajaan memberikan kelonggaran disebabkan kepentingan ekonomi, jadi orang ramai perlu bersabar dan tidak tergopoh-gapah,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Andul Hamid berkata, orang ramai disaran tidak mengambil kesempatan dan menggunakan peluang ini untuk keluar beramai-ramai tanpa tujuan, semata-mata untuk berada di luar rumah.

Beliau berkata, kerajaan sebenarnya akan melonggarkan lagi syarat yang ada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada masa akan datang supaya orang ramai boleh keluar melakukan aktiviti riadah.

“Itu memang sudah ada dalam perancangan kerajaan, tetapi masih belum diputuskan bila masa yang sesuai, namun harus dipastikan keadaan benar-benar selamat dan penjarakan sosial sentiasa diamalkan.

“Justeru, saya sekali lagi menegaskan jangan pula pada Isnin ini, keadaan menjadi kelam-kabut, kesesakan panjang berlaku dan orang ramai keluar sehingga keadaan menjadi tidak tentu arah.”

Katanya, orang ramai perlu mengikuti saranan kerajaan dan Kementerian Kesihatan bagi memastikan negara berjaya mengatasi penularan Covid-19.

Semalam, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja, berkata sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi mulai 4 Mei ini tertakluk kepada syarat dan prosedur operasi standard (SOP).

Antaranya, restoran dibenarkan beroperasi dengan syarat mematuhi SOP perniagaan, aktiviti sukan luar seperti bermain badminton atau tenis di luar tanpa penonton, joging, mengayuh basikal, golf dan larian tidak lebih 10 orang dibenarkan dengan syarat mengamalkan penjarakan sosial.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here