PKPB dilaksanakan, 6 strategi hadapi pemulihan ekonomi

0
223

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

CYBERJAYA – Kerajaan memperkenalkan enam strategi untuk mengawal wabak Covid-19 dan pemulihan ekonomi negara.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendekatan pertama membabitkan ketegasan dalam tindakan mengawal penularan wabak Covid-19 seperti menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, pendekatan kedua ialah untuk membina ketahanan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin untuk meningkatkan kemampuan rakyat dan ekonomi.

“Ketiga, menjana semula atau ‘restart’ ekonomi secara teratur dan terkawal. Keempat, melaksanakan strategi pemulihan atau ‘recovery’ ekonomi dalam menghadapi norma baharu.

“Kelima, memperkasa atau ‘revitalise’ ekonomi secara menyeluruh demi kelangsungan masa hadapan dan keenam, menyusun semula atau ‘reform’ struktur ekonomi untuk membolehkan negara dan saudara-saudari semua melangkah ke era kehidupan yang sudah berubah dengan adanya ‘normal baharu’,” katanya pada  perutusan khas  sempena Hari Pekerja, hari ini.

Pada masa yang sama, jelas beliau, kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan.

Jelasnya, langkah itu susulan dua daripada enam strategi dan perancangan kerajaan dalam memerangi wabak dan membina ketahanan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin telah membuahkan hasil.

“Kita telah bersedia untuk memulakan pendekatan ketiga iaitu membuka semula aktiviti ekonomi di seluruh negara secara terkawal dan berhati-hati,” katanya.

Bagaimanapun, tegasnya aktiviti melibatkan perhimpunan ramai dan mendedahkan orang awam kepada risiko jangkitan wabak masih tidak dibenarkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here