PKPB: Hanya Masjid Negara yang berada di bawah Jakim dibenar beroperasi

0
340
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Daripada tiga buah masjid utama negara yang berada di bawah pentadbiran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), hanya Masjid Negara dibenarkan memulakan pelaksanaan solat Jumaat, solat berjemaah, terawih dan solat sunat Aidilfitri bermula hari ini.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Paimuzi Yahya berkata, ini kerana hanya masjid tersebut berada dalam zon hijau manakala dua buah masjid lagi iaitu Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya masih lagi berada dalam zon kuning.

“Walau bagaimanapun, pelaksanaan solat berjemaah tersebut hanya dihadkan kepada jemaah yang tidak kurang daripada tiga orang dan tidak melebihi 30 orang yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan masjid serta jemaah yang akan ditentukan oleh pihak pentadbiran masjid,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, seperti yang disarankan oleh pihak kerajaan, pelaksanaan solat berjemaah di masjid akan mematuhi semua syarat-syarat yang telah dinyatakan melalui garis panduan yang telah disediakan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk merujuk kepada pihak pentadbiran masjid terlebih dahulu dan tidak dibenarkan hadir ke masjid untuk solat berjemaah atau sebarang aktiviti sebelum mendapat keizinan pentadbiran masjid.

Katanya, ini bagi mengelakkan berlakunya kehadiran jemaah yang di luar kawalan pihak masjid dan boleh menyebabkan penjarakan sosial yang tidak terkawal.

“Sama-samalah kita berdoa semoga keadaan negara kita kembali pulih sepenuhnya dari wabak Covid-19 dan aktiviti di masjid dapat beroperasi seperti biasa,” ujarnya-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here