PKPB: Jangan bimbang masuk kedai pakaian

0
334
Kedai pakaian dibenarkan beroperasi bermula esok

CYBERJAYA – Orang ramai yang memasuki kedai pakaian tidak perlu terlalu bimbang sekiranya pakaian yang terdapat di premis berkenaan telah disentuh oleh pelanggan lain.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana setiap pelanggan yang mahu memasuki premis berkenaan perlu mencuci tangan dengan bahan pencuci yang disediakan terlebih dahulu.

“Salah satu prosedur operasi standard (SOP) di kedai pakaian dan makanan ialah kena letak pencuci tangan.

“Sebelum memasuki premis pakaian, pelanggan kena cuci tangan sebelum masuk, jadi apabila mereka pegang baju ia tidak menjadi masalah kerana mereka sudah mencuci tangan sebelum itu,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kebimbangan orang ramai untuk membeli pakaian sekiranya pakaian tersebut telah dipegang oleh pelanggan sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan supaya orang ramai mematuhi arahan yang dikeluarkan dengan memakai topeng muka ketika keluar.

Pada masa sama, katanya, pemilik kedai juga perlu memastikan ada penjarakan sosial dan tidak membenarkan ramai orang masuk dalam satu-satu masa.

Sementara itu, ditanya mengenai tindakan ibu bapa yang membawa anak kecil keluar, katanya, meskipun tiada undang-undang yang melarang, ibu bapa perlu membuat pengawalan kendiri bagi memastikan anak-anak, warga emas dan ahli keluarga lain tidak dijangkiti Covid-19.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here