PKPB: Kerajaan negeri boleh dikenakan tindakan undang-undang – Azmin Ali

0
517
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

CYBERJAYA – Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, mana-mana kerajaan negeri yang enggan bekerjasama untuk melaksanakan Akta 342 berkemungkinan terdedah dengan tindakan undang-undang daripada pihak industri.

Beliau berkata, ini kerana akta tersebut telah menjadi undang-undang yang berkuatkuasa di seluruh negara.

“Kerajaan mengambil maklum kenyataan media beberapa pertubuhan industri termasuk Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) yang telah menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak boleh menghalang mana-mana syarikat untuk memulakan operasi bermula 4 Mei.

“Sekiranya kerajaan negeri tidak memberikan kerjasama untuk melaksanakan Akta 342 yang telah dijadikan undang-undang yang berkuatkuasa di seluruh negara, kerajaan-kerajaan negeri berkenaan mungkin terdedah kepada tindakan undang-undang daripada pelbagai pihak, khususnya dari pihak industri,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Bermula semalam, kerajaan Persekutuan telah melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan membenarkan hampir sebahagian besar sektor ekonomi beroperasi semula.

Namun begitu, terdapat beberapa negeri yang masih belum mahu melonggarkan perintah kawalan itu berikutan masih bimbang dengan penularan wabak Covid-19 di beberapa kawasan di seluruh negara.

Dalam pada itu, Azmin berkata, keputusan kerajaan Persekutuan menguatkuasakan akta tersebut adalah sah dari segi undang-undang.

Beliau berkata, Akta 342 telah digubal dan dikuatkuasakan mulai 1 April 1989 berikutan persetujuan negeri-negeri pada masa itu termasuklah Sabah dan Sarawak untuk mewujudkan satu undang-undang yang seragam bagi tujuan mencegah dan mengawal penyakit berjangkit di Malaysia dan berkuat kuasa di seluruh negara.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya kerajaan negeri bekerjasama dalam melaksanakan keputusan kerajaan Persekutuan supaya negara dapat menjana semula keupayaan ekonomi.

“Kerajaan yakin kita mampu memerangi pandemik Covid-19 ini dengan jayanya sebagai satu pasukan. Kita telah berganding bahu dalam melaksanakan PKP demi membendung penularan wabak Covid-19.

“Sekarang ini, kita perlu terus bersatu serta memperkukuhkan kerjasama demi kelangsungan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here