PKPB : Kerisauan rakyat sesuatu yang positif

0
131

BAGAN SERAI – Kebimbangan dan kerisauan rakyat terhadap risiko penularan wabak Covid-19 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang menyaksikan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenar beroperasi esok adalah sesuatu yang positif.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, keadaan itu jelas menunjukkan rakyat prihatin dengan situasi semasa dan sekali gus akan memastikan mereka mengambil langkah-langkah wajar untuk mengelakkan jangkitan.

“Apabila rakyat bimbang mereka sewajarnya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang disarankan kerajaan, misalnya kalau makan di kedai makan tidak boleh ramai dan jaga penjarakan (sosial),” katanya dipetik Bernama hari ini.

Noor Azmi berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan juadah berbuka puasa sempena Iftar Ramadan Drive True di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai berkata, pengumuman mengenai PKPB yang dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bertujuan menjamin kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara.

“Kerajaan membuat keputusan secara kolektif dalam Jemaah Menteri atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menyelamatkan ekonomi negara dan menjaga kesihatan rakyat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here