PKPB : Restoran nasi kandar mula diserbu peminat

0
321
Kakitangan Restoran Syed Bistro di Bangsar menyediakan nasi beriyani kepada pelanggan. MT/FARID ZANUDIN

KUALA LUMPUR – Kelonggaran yang diberikan kerajaan melalui Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) disambut baik orang ramai dan golongan peniaga di negara ini.

Kebenaran merentasi sempadan daerah, bergerak dalam kumpulan kecil dan makan di restoran dengan penjarakan sosial ternyata ‘diraikan’ sejak pelaksanaan PKPB.

Bagi umat Islam di sekitar ibu kota dan Lembah Klang, pemulaan PKPB sejak Isnin lalu tidak dilepaskan untuk mendapatkan hidangan nasi kandar sebagai hidangan berbuka puasa.

Tinjauan Malakat Tribune di sekitar Bangsar semalam mendapati dua restoran nasi kandar popular iaitu Restoran Mahbub dan Syed Bistro sesak dengan pelanggan.

Di premis perniagaan yang menyediakan jualan secara bungkus dan penghantaran itu, orang ramai mula membanjiri restoran seawal pukul 3 petang.

Jualan sajian makan tengahari pula bermula seawal pukul 1 tengahari untuk pelanggan-pelanggan bukan beragama Islam.

Kakitangan Restoran Syed Bistro di Bangsar menyediakan nasi beriyani kepada pelanggan. MT/FARID ZANUDIN

Pelanggan, Raja Khairita Raja Sharial, 35, berkata, nasi kandar menjadi hidangan kegemaran dia dan keluarga ketika berbuka puasa dan tidak kisah beratur lama untuk mendapatkannya.

“Hari ini saya pergi ke dua restoran popular di sini iaitu Mahbub dan Syed Bistro untuk mendapatkan nasi kandar.

“Di restoran Mahbub saya terpaksa menunggu giliran agak lama kerana pelanggan terlalu ramai,” katanya.

Bagaimanapun katanya, dia akur dengan sedikit ‘cabaran’ itu demi untuk memuaskan selera dan kerinduan pada nasi kandar.

“Semasa PKP dulu susah sikit nak keluar sebab kena tempuh pemeriksaan polis. Sekarang PKPB, kita bebas sikit,” katanya.

Bagaimanapun Raja Khairita berkata, sebagai langkah menghindari jangkitan wabak Covid-19 dia tetap memilih restoran yang mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang betul.

Pelanggan beratur dalam jarak sosial satu meter di hadapan Restoren Mahbub di Bangsar, semalam. FARID ZANUDIN

Pengarah Urusan Restoran Mahbub, Omar Farook Ali Seeni Abdul Kadhar berkata, kelonggaran yang diberikan kerajaan semasa PKPB menyumbang kepada peningkatan jumlah pelanggan yang agak ketara.

“Memang nampak peningkatan yang ketara. Pelanggan lebih ramai datang tidak seperti masa PKP sebelum ini,” katanya.

Menurut Omar Farook, sebagai langkah keselamatan, pihaknya mempraktikkan SOP yang ditetapkan iaitu penjarakan sosial sejauh satu meter ketika pelanggan berbaris, pencuci tangan (sanitizer) dan kaedah tempahan makan menggunakan nombor giliran.

Selain itu katanya, dua orang anggota Rela turut ditugaskan untuk memastikan pelanggan dan penunggang Foodpanda dan Grabfood mematuhi SOP pergerakan semasa membuat tempahan.

Sementara itu, Pengurus Restoran Syed Bistro Bangsar, Jayachandran berkata, selain nasi kandar dan nasi beriyani ayam dan kambing, restorannya turut menyajikan pelbagai juadah berbuka puasa seperti karipap, samosa dan murtabak Singapura.

“Perniagaan sudah tentu tidak sama dengan tahun-tahun yang lalu, tapi sekarang selepas PKPB agak pertambahan pelanggan sikit,” katanya.

Jayachandran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here