PKPB: Taska masih belum dibenarkan beroperasi

0
188

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) masih belum memberikan sebarang kebenaran kepada mana-mana taska untuk beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, meskipun KKM mendapat banyak permohonan daripada ibu bapa, langkah untuk membuka taska masih belum dapat diputuskan berikutan isu keselamatan anak-anak terbabit.

“KKM masih meneliti permohonan tersebut kerana kita risau terhadap kawalan kanak-kanak di tempat berkenaan. Kalau kita lihat penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) masih berlaku di sesetengah taska.

“Jadi kita lihat jangkitan mudah berlaku di taska-taska dan sebab itu kita masih belum memberikan sebarang keputusan,” katanya dalam sidang akhbar harian Covid-19 hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, sekiranya pengurusan taska berkenaan dapat menyediakan tempat khas atau menghadkan bilangan kanak-kanak kemungkinan permohonan mereka boleh dipertimbangkan.

“Kalau berkumpul ia akan jadi satu perhimpunan dan kerisauan KKM ialah kebolehjangkitan dalam kalangan kanak-kanak ini boleh meningkat.

“Berikutan itu, KKM sedang pertimbang kaedah inovasi baharu bagi menangani masalah ini, kemudian baru boleh bagi keputusan muktamad,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here