PKPBD ketatkan kawalan di Selangor

0
264

CYBERJAYA – Kerajaan Selangor mengubah suai garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi memperketatkan kawalan susulan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi bermula esok.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata,  Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD) adalah hasil runding cara melibatkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor, Bilik Gerakan Covid-19 Selangor, Pasukan Petugas Covid-19 Selangor (STFC) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau menegaskan, semua sektor melaksanakan amalan penjagaan kesihatan baik seperti pemakaian topeng muka, amalan kerap pencucian tangan dan mengelakkan dari menyentuh muka,” katanya dalam kenyataan seperti dipetik portal SelangorKini hari ini.

Amirudin berkata, keputusan itu terpakai kepada seluruh Selangor kecuali zon merah Selayang Baru buat masa ini manakala bagi butiran lain adalah berdasarkan ketetapan dan garis panduan Majlis Keselamatan Negara yang dikeluarkan terdahulu.

Kerajaan Selangor membuat keputusan untuk melaksanakan PKPB dengan pertambahan perincian berikut:

1. Restoran, para penjaja dan peniaga berpremis dibenarkan untuk beroperasi mulai 4 Mei terhad kepada urusan bawa pulang (take away) dan penghantaran (delivery) dari pukul 7 pagi hingga 10 malam.

Manakala peniaga tiada berpremis termasuk penjaja tepi jalan dan kenderaan saji (food truck) hanya dibenarkan untuk beroperasi selepas 12 Mei  bagi memastikan pihak PBT dan peniaga mempunyai cukup masa untuk mengatur persediaan untuk penjarakan sosial dan ‘contact tracing’.

Namun, pasar malam, pasar pagi, jualan karnival, bazar Ramadan dan Aidilfitiri tidak dibenarkan sebagaimana ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan.

2. Industri pembinaan dibenarkan beroperasi pada kadar maksimum tetapi syarikat harus menyediakan Pelan Tindakan Keselamatan Kawalan Penularan Wabak Covid-19 untuk mendapat kelulusan PBT masing-masing terlebih dahulu.

3. Bagi sektor sosial, orang awam dibenarkan untuk melakukan aktiviti senaman di kawasan lapang dan taman komuniti dengan mengamalkan penjarakan sosial. Kegiatan di taman-taman awam seperti Tasik Shah Alam, Taman Jaya dan Tasik Cempaka tidak dibenarkan.

Semua kemudahan rekreasi dan sukan dalam kawasan berbumbung / tertutup seperti kolam renang dan gimnasium masih ditutup.

Aktiviti hiking seperti di Bukit Gasing juga tidak dibenarkan. PBT akan mengeluarkan notis susulan senarai taman awam yang dilarang buat orang awam sewaktu PKPB ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here