Perlis negeri pertama benarkan solat Jumaat bersyarat

0
594

CYBERJAYA – Perlis akan membenarkan solat Jumaat didirikan di masjid-masjid di negeri tersebut secara bersyarat bagi mengimbangi antara menjaga nyawa dan syiar agama.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, langkah itu sebagai permulaan untuk membolehkan syiar Jumaat dihidupkan kembali.

Namun, titah baginda, kebenaran itu masih belum dapat diizinkan kepada masyarakat awam disebabkan ancaman penularan wabak Covid-19.

“Solat Jumaat hendaklah didirikan dengan mematuhi ketetapan antaranya jumlah jemaah termasuk imam dan khatib tidak melebihi 12 orang dan tidak kurang daripada tiga orang.

“Masjid tidak dibuka kepada awam sebaliknya mereka yang dibenarkan menunaikan solat Jumaat adalah dalam kalangan pegawai-pegawai masjid dan ahli jawatankuasa masjid sahaja,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, baginda bertitah, mereka yang diizinkan hadir perlulah membuat pemeriksaan suhu badan, sanitasi tangan dan merekodkan kehadiran di dalam buku kehadiran.

Selain itu, titah baginda lagi, individu yang berumur 60 tahun ke atas dan mereka yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekat dan selesema selain penyakit kecing manis, darah tinggi, lelah, barah dan sebagainya tidak dibenarkan hadir.

“Mereka yang hadir perlu melaksanakan penjarakan sosial termasuk semasa solat, individu yang hadir juga wajib memakai penutup mulut dan hidung termasuk ketika menunaikan solat.

“Mestilah berwuduk terlebih dahulu sebelum hadir ke masjid dan membawa sejadah sendiri. Tempoh masa bermula azan hingga solat Jumaat selesai adalah 15 minit sahaja,” titah baginda.

Pada masa sama, baginda bertitah, tiada kontak fizikal dibenarkan seperti berjabat tangan di masjid sama ada sebelum atau selepas solat dan setelah selesai solat, semua jemaah perlu beredar.

“Solat Jumaat ini juga diutamakan untuk dilaksanakan di kawasan yang lebih terbuka seperti di anjung masjid dan dipertanggungjawabkan kepada semua pengerusi masjid untuk memastikan semua syarat ini dipatuhi.

“Masjid yang tidak mampu memenuhi semua syarat ini adalah tidak dibenarkan untuk melaksanakan solat Jumaat,” titah baginda.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here