Polis sahkan satu majlis kahwin di kuil di Seri Kembangan semalam

0
767
Tangkap layar video daripada Bernama yang memaparkan beberapa tetamu yang hadir ke majlis berkenaan

CYBERJAYA – Polis mengesahkan membuka kertas siasatan berhubung satu upacara perkahwinan yang diadakan di sebuah kuil Hindu di Seri Kembangan, Serdang semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, siasatan lanjut polis mendapati memang terdapat satu upacara perkahwinan dijalankan di kuil berkenaan seperti dalam rakaman video yang tersebar.

Beliau berkata, hasil soal siasat lanjut polis terhadap pengurusan kuil itu di Jalan SR 5/3 Serdang Raya, Seri Kembangan mendapati mereka akhirnya mengakui ada menjalankan upacara berkenaan.

“Pada mulanya pihak pengurusan kuil menafikan perkara itu namun hasil siasatan lanjut yang dijalankan, mereka akhirnya mengakui memang ada berlangsung perkahwinan itu semalam pada pukul 10 pagi dengan kehadiran antara 20 hingga 30 individu.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawalan Tempatan Jangkitan) 2020 dan usaha mengesan semua suspek sedang dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beiau berkata, aiasatan berhubung perkara itu juga dijalankan susulan terdapat dua laporan polis yang diterima daripada seorang wartawan portal berita yang menulis artikel berhubung kejadian itu dan disiarkan dalam laman sesawang portal berkenaan.

“Mangsa yang berusia 41 tahun mendakwa beberapa gambar peribadinya disebarkan melalui beberapa medium kumpulan WhatsApp susulan pendedahan yang dibuatnya melalui artikel berkenaan yang disiarkan di portal berita berkenaan pada pukul 12 tengah hari semalam.

“Video berkenaan diambil sendiri mangsa ketika dia dalam perjalanan ke tempat kerja. Dia kini risau akan keselamatan dirinya dan minta kita menyiasat perkara itu.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988,” katanya.

Selain itu, katanya orang ramai diminta bertenang dan tidak mengeluarkan sebarang komen yang boleh memecah keamanan dan mendatangkan kegusaran awam selain terus mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here