Polis tahan 410 individu ingkar, 548 rakyat Malaysia dikuarantin wajib

0
121
Gambar hiasan

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

CYBERJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 410 individu berbanding 683 individu sebelum ini kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, ia merangkumi 372 individu yang direman dan 38 individu dijamin polis.

Menurutnya, semalam PDRM bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan 820 sekatan jalan raya di seluruh negara dan melakukan pemeriksaan ke atas 486,307 kenderaan.

“Sebanyak 35,834 pemeriksaan mengejut telah diadakan di seluruh negara dengan 7,065 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa.

“Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga semalam  adalah sebanyak 23,266 individu,” katanya pada sidang akhbar harian hari ini.

Mengulas mengenai pengurusan pusat kuarantin pula, beliau berkata, sebanyak 237 pusat kuarantin telah beroperasi berbanding 232 sebelumnya, yang mana 17,375 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib.

Katanya, semalam seramai 548 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air dan telah dikuarantin wajib.

“Manakala 26,828 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara telah dikuarantin wajib sejak 3 April. Sejak 17 April lalu, 13,672 individu telah selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here