PPA1M rosak, penghuni kecewa

0
261
gambar hiasan

PUTRAJAYA- Jika dilihat dari luaran, bangunan projek perumahan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di Presint 11 di sini nampak tersergam indah, cantik dan menarik.

Bagaimanapun, itu hanya pandangan ‘orang luar’ sahaja, sebaliknya pemilik dan penghuni rumah berkenaan terseksa kerana kediaman mereka rosak dan tidak seperti diidamkan.

Jika dilihat secara dekat dan terperinci, unit kediaman berkenaan juga didakwa boleh mendatangkan risiko bahaya kepada penduduk kerana tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Tinjauan juga mendapati bahagian dinding bangunan terbabit turut ‘dicampur’ polisterin dan kertas pembungkus simen sebelum ia ditutup menggunakan bancuhan simen.

Turut menyulitkan keadaan, pintu di sesetengah rumah kediaman itu juga tidak dipasang dengan betul sehingga menyukarkan penduduk untuk menutup dan membuka pintu.

Seorang pengadu yang hanya mahu dikenali sebagai Nuraisya, 37, berkata, disebabkan terlampau banyak kerosakan yang berlaku di rumahnya, dia terpaksa duduk di rumah lain.

Katanya, dia juga terpaksa terpaksa membayar (ansuran bulan dan sewa) dua buah rumah dalam satu-satu masa walaupun tidak menetap di Presint 11 sekali gus menanggung kerugian.

Menurut Noraisya, pelbagai aduan di beberapa kementerian sudah dibuat pihaknya namun sehingga kini tiada perkembangan lanjut mengenai permasalahan berkenaan.

“Saya sudah membayar rumah ini hampir sembilan bulan, namun hanya bayar semata tanpa berpeluang menduduki rumah ini. Saya juga sudah menghubungi pemaju, mereka memberi tempoh sebulan untuk menyelesaikannya.

“Dari hari ke hari, tempoh yang diberikan terpaksa dipanjangkan dan kini ia sudah memasuki bulan ke sembilan. Ada sahaja alasan diberikan termasuklah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ada juga pihak pemaju datang betulkan seperti membaiki lantai mozek ini, namun hasilnya tidak memuaskan dan hanya membaikinya secara ala kadar dan tangkap muat,” katanya.

Noraisya berkata, dia sudah membelanjakan lebih RM28,000 kerana selain membayar rumah berkenaan secara bulanan, pihaknya juga terpaksa membayar duit penyelenggaraan di kediaman terbabit, kos guaman, cukai serta laporan kerosakan.

“Saya lihat masalah ini seperti tiada harapan untuk diselesaikan, pelbagai alasan diberikan oleh pihak pemaju namun keadaan rumah saya masih seperti ini.

“Harga yang dikenakan di rumah ini agak tinggi, namun kualiti barangan serta hasil kerjanya tidak seperti yang dibayar. Saya sedih dan penat kerana setiap bulan gaji dipotong untuk membayar rumah ini namun tidak dapat mendudukinya,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here