Prasarana panjangkan waktu operasi, tekankan penjarakan sosial

0
93

CYBERJAYA – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan beroperasi mengikut waktu normal dari pukul 6 pagi sehingga tengah malam bermula Isnin Ini.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulannya, Muhammad Nizam Alias berkata, langkah itu diambil susulan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membuka semula sektor ekonomi secara berperingkat mulai Isnin ini.

Beliau berkata, operasi perkhidmatan yang disediakan tertakluk kepada syarat-syarat dan prosedur ketat bagi memastikan usaha mencegah penularan wabak Covid-19 terus diperkasakan.

“Bagi menggalakkan penjarakan sosial dalam tren dan bas, perjalanan waktu puncak dipanjangkan dari pukul 7 pagi hingga 11 pagi untuk pagi dan antara pukul 4 petang hingga 7 malam untuk waktu puncak petang bagi semua perkhidmatan. 

“Ini bermakna kekerapan tren yang lebih tinggi pada waktu-waktu itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, kekerapan waktu puncak pagi dan petang untuk transit aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya adalah tiga minit manakala untuk LRT Laluan Ampang/Sri Petaling adalah enam minit.

Beliau berkata, bagi perkhidmatan MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang pula mempunyai kekerapan waktu puncak empat minit manakala perkhidmatan monorel pula beroperasi dengan kekerapan enam minit. 

Beliau menambah, di samping itu, pihaknya akan meletakkan staf tambahan untuk mengawal penumpang di pintu masuk stesen dan di platform bagi memastikan penjarakan sosial di dalam tren. 

“Tentunya adalah sesuatu yang amat mencabar. Jadi, kami memohon agar semua penumpang memberikan kerjasama rapat dengan staf kami dalam menjalankan tugas mereka. 

“Kuasa untuk meneruskan usaha memutus rantaian penularan Covid-19 adalah di tangan orang ramai dan para pengguna perkhidmatan pengangkutan awam. 

“Anda mesti bersedia melakukan penjarakan sosial secara sukarela dan menyokong satu sama lain. Tren dan bas akan mempunyai tanda-tanda khas untuk membantu urusan penjarakan sosial dalam bas dan tren. Kita jaga kita,” katanya.

Beliau menambah, bagi mendapatkan jarak yang sesuai bagi penjarakan sosial adalah untuk tren menampung hanya 50 peratus penumpang daripada kapasiti penuh untuk rel dan 30 peratus untuk bas.

Beliau juga menasihatkan para penumpang rel, bas dan feri sentiasa memakai penutup mulut dan hidung.

“Dalam mengamalkan penjagaan kesihatan peribadi khususnya mencuci tangan dengan cecari pembasmi kuman Prasarana akan meletakkan peralatan itu di semua stesen-stesen tren LRT, MRT, monorel dan BRT; hab-hab bas dan pangkalan feri.

“Kerja-kerja membasmi kuman di stesen, hab bas serta di dalam tren dan bas kendalian Prasarana dan juga feri akan diteruskan secara gigih seperti masa-masa lepas,” jelasnya. 

Beliau berkata, staf yang bertugas khususnya kapten bas, anggota polis bantuan dan staf stesen akan turut diperiksa suhu badan masing-masing sebelum dibenarkan memulakan kerja masing-masing.

“Tetapi, seperti saya nyatakan, apa jua usaha daripada kami di Prasarana tidak akan berhasil untuk mencegah wabak Covid-19 tanpa kerjasama penuh daripada semua para pelanggan setia kami. Kita perlu bergandingan tenaga untuk memastikan kita menang,” ujarnya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here