[VIDEO] Program Zero Hunger bantu rakyat Terengganu

0
264

KUALA TERENGGANU – Sumbangan kepada golongan yang memerlukan melalui Program Zero Hunger telah diperluaskan ke Terengganu pada Ahad dan Isnin lalu dengan 1,065 pek barangan makanan telah diagihkan.

Jelajah Misi Kemanusiaan Zero Hunger ke Terengganu

Sumbangan berupa beras, gula, tepung, minyak masak dan juga gula itu diagihkan menerusi konvoi 19 kenderaan pacuan empat roda bersama 44 orang sukarelawan Brainy Ranger Emergency Response Team (BERT).

Konvoi bertolak ke Terengganu pada pukul 8 pagi itu dan misi di negeri berkenaan melibatkan tujuh lokasi agihan iaitu di Kemaman, Dungun, Marang, Kuala Terengganu, Besut, Setiu dan Hulu Terengganu.

Ketua Operasi BERT, Mohd. Fuad Rahim berkata, selain tujuh lokasi itu, Zero Hunger turut menghantar bekalan makanan di Ibu Pejabat Polis Kontingen (IPK) Terengganu dan pusat Fisabilillah TRG untuk diagihkan.

“Alhamdulillah Terengganu ini merupakan misi ke-32 Program Zero Hunger. Sebelum ini kami telah ke pelbagai lokasi termasuk Kedah, Pahang, Melaka dan Kelantan untuk membantu golongan memerlukan.

“Di Terengganu kami memperuntukkan sebanyak 1,065 pek bekalan makanan yang bernilai kira-kira RM50,000. Ini adalah hasil sumbangan korporat dan orang ramai untuk golongan yang memerlukan,” katanya.

Menurut Mohd. Fuad, bekalan makanan di setiap daerah itu diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk diagihkan mengikut senarai pemohon bantuan Program Zero Hunger.

“Untuk IPK Terengganu, sumbangan akan diagihkan kepada petugas barisan hadapan yang memerlukan manakala, barangan di Fisabilillah TRG pula akan diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

“Kita juga dapat berjumpa Penasihat Fisabilillah TRG, Ustaz Azhar Idrus. kami memilih untuk amanahkan agihan kepada pertubuhan itu kerana mereka lebih tahu selok belok setempat dan mereka yang memerlukan,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Fuad berkata, secara keseluruhan kira-kira 14,000 pek bekalan makanan telah diagihkan di seluruh negara oleh Program Zero Hunger dengan peruntukan sebanyak RM700,000.

“Dana terkini yang terkumpul ketika ini ialah sebanyak RM1.1 juta. Progam bantuan ini akan diteruskan lagi selepas ini, kita tidak akan berhenti selagi ada permohonan daripada golongan yang memerlukan.

“Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada dana Program Zero Hunger bagi membantu golongan memerlukan boleh berbuat demikian dengan melayari laman web www.sadaqahmarket.com,” katanya.

Sementara itu, Pegawai JKM Dungun, Mohd. Naufal Yusoff mengucapkan terima kasih kepada Program Zero Hunger atas bantuan bekalan makanan kepada golongan memerlukan di daerah berkenaan.

“Di daerah ini, kami menerima 157 pek bekalan makanan, manfaat ini sangat besar kepada yang memerlukan. Terima Kasih PPIM, Malakat Mall dan Yayasan Brainy Bunch yang menganjurkan program ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Turus Pentadbiran IPK Terengganu, DSP Azhar Ahmad mewakili Ketua Polis Terengganu mengucapkan terima kasih kepada Program Zero Hunger atas sumbangan bekalan makanan.

“Sumbangan ini akan diagihkan kepada petugas barisan hadapan yang bertugas sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terutamanya di sempadan negeri,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here