Program Zero Hunger santuni 500 keluarga di Lembah Klang

0
184
Lebih 10,000 terima manfaat bantuan Zero Hunger

KUALA LUMPUR – Program Zero Hunger anjuran Malakat Mall meneruskan agihan bantuan barang keperluan kepada lebih 500 keluarga di Lembah Klang dan Selangor.

Misi bantuan kali ke-25 yang digerakkan oleh Pasukan Tindakan Kecemasan Brainy Ranger (BERT) hari ini melibatkan kawasan Kepong, Kampung Baru, Subang Jaya dan Klang di Selangor.

Proses agihan disertai oleh 20 anggota sukarelawan BERT menggunakan sembilan buah kenderaan pacuan empat roda.

Pengarah Operasi BERT, Mohd. Fuad Rahim berkata, sehingga kini, sebanyak 10,863 pek bantuan Zero Hunger telah diagihkan kepada lebih 10,000 keluarga di seluruh negara.

Beliau berkata, sumbangan disasarkan kepada golongan B40 dan keluarga yang kehilangan punca pendapatan itu setakat ini telah diperluaskan ke lapan negeri.

“Sumbangan anjuran Malakat Mall dengan tajaan dana daripada pelbagai pihak swasta ini bermula di Selangor dan Lembah Klang.

“Alhamdulillah sehingga kini kita telah memperluaskan sumbangan ke Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Pahang,” katanya kepada Malakat Tribune ketika penyerahan pek Zero Hunger di PPR Intan Baiduri di sini hari ini.

Mohd. Fuad berkata, sejak kutipan derma untuk orang ramai yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimulakan, pihaknya sehingga kini telah menerima kutipan berjumlah RM800,000.

Di PPR Intan Baiduri dan kawasan sekitar Kepong, sebanyak 250 keluarga menerima sumbangan Zero Hunger yang ditaja oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Gardenia.

Bantuan berupa barangan keperluan asas berupa telur, beras, tepung, minyak dan roti Gardenia.

Mohd. Fuad Rahim bersama anggota sukarelawan BERT pada penyampaian pek Zero Hunger di PPR Intan Baiduri, Kuala Lumpur hari ini.


Sumbangan pek Zero Hunger yang diserahkan oleh para sukarelawan BERT di Kampung Baru, hari ini.

Menurut Mohd. Fuad, sasaran penerima dikenal pasti melalui maklumat pemohon yang dikemukakan melalui laman www.sadaqahmarket.com.

“Sumbangan orang ramai masih berterusan walaupun tempoh PKP sudah berlalu. Kita menerima kira-kira 3,000 penderma dari orang perseorangan,” katanya.

Mengenai langkah keselamatan para sukarelawan dan golongan penerima, Mohd. Fuad memberitahu pihaknya sentiasa memastikan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipatuhi seperti penjarakan sosial satu meter dan pemakaian topeng mulut dan hidung.

“Semasa pengagihan, kami sebolehnya tidak menyerahkan barang secara langsung untuk mengelak sentuhan sebaliknya menghimpunkan barangan bantuan di satu tempat,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada dana Zero Hunger boleh berbuat demikian di laman www.sadaqahmarket.com. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here