Rakyat diminta muat turun MySejahtera, MyTrace

0
168

CYBERJAYA – Langkah kerajaan mewujudkan aplikasi MySejahtera dan MyTrace bertujuan membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dalam melakukan pengesanan kontak jika berlaku jangkitan baharu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam memerangi Covid-19, pengesanan kontak adalah sangat penting.

“Petugas kesihatan mesti tahu siapa yang pernah berada dekat dengan orang yang dikenal pasti positif Covid-19.

“Untuk memudahkan pengesanan kontak, kerajaan mewujudkan aplikasi Mysejahtera dan MyTrace. Saya harap semua yang mempunyai telefon pintar muat turun aplikasi ini bagi membantu Kementerian Kesihatan,” katanya dalam Perutusan Khas Sempena Hari Pekerja hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau berharap majikan menjadikan bekerja dari rumah sebagai amalan norma baharu apabila sektor-sektor ekonomi mula dibuka Isnin ini.

“Saya faham ramai agak bimbang apabila sektor ekonomi mula dibuka. Ramai akan keluar rumah untuk bekerja. 

“Mereka ada dimana-mana. Di jalan raya, stesen LRT, stesen minyak, dalam bas, dalam Grab, restoran, pasar raya dan tempat-tempat lain.

“Virus Covid-19 tetap ada di luar sana dan risiko terkena jangkitan sentiasa ada. Saya pun bimbang juga,” ujar beliau.

Beliau turut meminta rakyat supaya tidak panik dan jangan mengalah serta yakin dengan kemampuan para petugas barisan hadapan menjalankan tugas mereka membendung wabak itu.

“Tetapi yang lebih penting ialah diri kita sendiri. Tanggungjawab kita sendiri. Jaga kebersihan diri kita. Jangan keluar rumah kecuali jika perlu. “Patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pada setiap masa. Pakai penutup hidung dan mulut bila keluar ke tempat awam. Bawa cecair pembasmi kuman,” ujarnya. 

Dalam pada itu, beliau meminta ketua keluarga dan masyarakat memainkan peranan dalam menasihati anak-anak serta penduduk supaya sentiasa berhati-hati dalam menjalani kehidupan norma baharu.

“Elakkan perkumpulan beramai-ramai di kejiranan kita. Amalkan penjarakan sosial sebagai norma baharu dalam kehidupan. 

“Jika berlaku kes-kes bergejala Covid-19 di tempat tempat kerja atau di kawasan perumahan segera laporkan kepada pihak berkuasa,” ujar beliau. – MT 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here