Rakyat diseru biasakan amalan norma baharu

0
109

CYBERJAYA – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat supaya terus membiasakan amalan ‘norma baharu’ dalam membendung penularan Covid-19.

Baginda bertitah, ia termasuk keluar dari rumah hanya bila perlu, tidak berhimpun atau menganjurkan rumah terbuka sepanjang Syawal nanti serta sentiasa mengekalkan jarak selamat jika perlu melakukan urusan di tempat awam.

“Pastikan juga amalan memakai penutup muka dan menjaga kebersihan diri khususnya mencuci tangan serta pengguna cecair pembasmi kuman dijadikan sebagai satu kemestian apabila keluar dari rumah.

“Nasihat Beta kepada warga emas serta sesiapa yang tidak sihat atau ada menunjukkan gejala Covid-19, duduk sahajalah di rumah,” titah baginda dalam hantaran akaun rasmi Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah, bagi umat Islam pula, ketibaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi hendaklah disambut dalam suasana sederhana tanpa perlu merentas negeri untuk pulang ke kampung.

“Beta mendoakan agar keadaan akan kembali pulih dan kita mampu untuk menangani penularan wabak ini dengan sebaik mungkin.

“Ingatlah, jika tiada keperluan, duduk sahaja di rumah, jika keluar, pakai pelitup muka dan sentiasa amalkan penjarakan sosial!” titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin bertitah, sejak penularan wabak berbahaya Covid-19 mula menunjukkan peningkatan di Malaysia dan diisytiharkan sebagai pandemik, baginda amat khuatir dengan keselamatan seluruh rakyat khususnya di Selangor.

“Beta juga sering memantau dan meneliti setiap data dan statistik kes jangkitan wabak ini dari semasa ke semasa sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa.

“Alhamdulillah, data semasa menunjukkan PKP yang dilaksana telah berjaya melandaikan keluk (flattening the curve) dan keupayaan hospital-hospital dalam merawat kes-kes Covid-19 juga adalah terkawal,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut menzahirkan ucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua kakitangan barisan hadapan termasuk doktor, jururawat, kakitangan hospital, pasukan polis, anggota tentera, bomba dan Rela yang bertungkus lumus menjalankan tugas masing-masing.

“Beta juga menghargai ketabahan dan kesabaran semua ahli keluarga barisan hadapan di waktu yang mencabar ini.

“Kini, setelah masuk fasa PKP kelima (PKP Bersyarat), di mana kelonggaran telah diberikan bagi menyokong semula sektor ekonomi. Beta amat berharap agar rakyat kekal berhati-hati dalam menjalankan kembali rutin harian,” titah baginda. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here