Rakyat Malaysia diminta contohi disiplin tinggi rakyat Taiwan, Korea Selatan

0
290
Orang ramai digesa sentiasa mematuhi SOP yang dikeluarkan KKM sepanjang PKPB dilaksanakan

CYBERJAYA – Orang ramai digesa supaya sentiasa mengamalkan disiplin sosial meskipun kerajaan melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, rakyat perlu patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan walaupun kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Berikutan itu, beliau menggesa supaya rakyat negara ini mempraktikkan amalan yang dibuat di Taiwan dan Korea Selatan yang mana rakyatnya mempunyai kepatuhan disiplin sosial sangat tinggi tanpa perlu melaksanakan perintah berkurung.

“PKP fasa satu, dua dan tiga adalah bagi meratakan lengkung penularan Covid-19. PKPB membenarkan sektor perniagaan beroperasi tetapi perlu patuh kepada SOP yang ditetapkan.

“Jika tidak patuh, tindakan tegas boleh dikenakan. Sebab itu dengan kelonggaran yang diberikan, rakyat perlu mengamalkan disiplin sosial dan menjadi lebih bertanggungjawab dalam soal ini,” katanya dalam sidang akhbar harian Covid di Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu, ditanya sama ada penggunaan topeng muka wajib di tempat awam, katanya, pemakaian topeng muka amat digalakkan meskipun tidak diwajibkan.

“Kita menggalakkan mereka pakai topeng muka dan ia tidak wajib. Selain itu, amalan penjarakan sosial satu meter, perlu diamalkan.

“Jika kita mengamalkan semua amalan ini, kita boleh membendung penularan Covid-19,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here