Ramai cuba nasib rentas sempadan negeri di Melaka

0
155

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

CYBERJAYA – Melaka adalah negeri tertinggi mencatatkan jumlah kenderaan yang cuba membuat pergerakan rentas negeri iaitu sebanyak 886 kenderaan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, ia diikuti Perak sebanyak 362 kenderaan dan Pulau Pinang 284 kenderaan.

“Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengadakan 154 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri dan memeriksa 264,280 kenderaan.

“Sebanyak 2,539 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung telah diarah berpatah balik,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, peningkatan jumlah kenderaan yang ditahan itu menunjukkan masih ramai memandang ringan terhadap arahan yang telah dikeluarkan kerajaan.

“Maknanya setiap hari saya mengulangi supaya jangan membuat rentas negeri dan semalam apabila saya mengumumkan tiada lagi kebenaran rentas negeri masih ramai cuba mengambil kesempatan untuk berbuat demikian.

“Justeru saya ingin mengingatkan semua rakyat supaya dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang telah diperkenalkan dan kerjasama inilah akan memastikan Covid-19 dapat diperangi,” katanya.

Katanya, semalam juga PDRM telah menahan seramai 64 individu di atas kesalahan melanggar SOP di antaranya 40 individu telah pun direman, manakala 24 indivdiu telah diberikan kompaun oleh polis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here