‘Rasa tenang bekerja di Malakat Mall’

0
795

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

CYBERJAYA – “Bekerja di Malakat Mall ibarat memperbaiki diri untuk menjadi lebih baik.”

Demikian kata-kata dikongsikan oleh sebahagian kakitangan Malakat Mall ketika ditemui MBNews.

Seorang pembantu jualan di premis perniagaan Malakat Mall, Aminah Mohamad, 44, berkata, sebenarnya tidak pernah terfikir untuk berjuang bersama mana-mana pemilik ekonomi Muslim.

Aminah Mohamad

Menurutnya, selepas diterima bekerja di pusat beli belah itu, dia bagaikan terpegun melihat kesungguhan pengusaha Islam yang ingin mempromosikan produk Muslim ke peringkat lebih baik.

“Bagi saya, tidak dinafikan terdapat pelanggan mengadu harga barang sedikit tinggi berbanding di premis perniagaan lain tetapi mereka perlu ingat di sini menghimpunkan produk-produk orang kita.

“Ada dalam kalangan mereka yang baharu hendak bertapak dan memerlukan sokongan orang Islam,” katanya yang sebelum ini pernah bekerja di sebuah pasar raya terkenal di Nilai.

Aminah yang tertarik dengan konsep Islamik yang diguna pakai di pusat beli belah itu berkata, sebagai ‘frontliners’ di pasar raya menjadi tanggungjawabnya meyakinkan pelanggan untuk membeli produk Muslim.

Katanya, tugas itu memang mencabar namun perlu yakin dalam tempoh setahun dia percaya Malakat Mall akan dekat di hati pelanggan.

Nurul Ain Zaini

Bagi penyelia sebuah kedai pakaian wanita, Nurul Ain Zaini,24, setiap kali melakukan tugasan, dia mengamalkan gaya kerja yang istiqomah.

Katanya, mengamalkan konsep ‘pelanggan always  right’ membantunya untuk berdepan dengan pelanggan yang dikategorikan banyak ragam.

“Biasanya pelanggan akan berkali-kali tanya mengenai sesuatu produk, kita pula cuba memperjelaskan kedudukan produk yang dijual sehabis baik.

“Selepas itu mereka akan faham dan lebih gembira dan mengulangi lagi akan datang dan beli,” katanya yang pernah ditempatkan di Raudhah Grocer.

Noor Atiqah Ramli

Pembantu jualan di premis menjual kelengkapan barangan bayi dan kanak-kanak, Noor Atiqah Ramli, 26, berkata, dia pernah bekerja di sebuah pasar raya di mana sukar untuk menunaikan solat.

Katanya, selepas diterima bekerja di Malakat Mall suasana itu bertukar dan merasai keadaan lebih tenang.

“Mengenai sokongan pelanggan pula saya lihat, ramai sokong tetapi perlu beri masa dalam setahun lagi kerana Malakat Mall sebelum ini terpaksa ditutup disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya yakin selepas semua reda nanti ramai pengunjung memberi sokongan semula, seperti di awal-awal pembukaan dahulu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here