Raudhah Grocer 3.0 bantu peniaga kecil

0
378

RAUDHAH CITY – Satu lagi entiti baharu Raudhah Grocer versi 3.0 bakal diwujudkan tidak lama lagi dalam membuka lebih banyak peluang usahawan Muslim menceburi perniagaan.

Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, idea itu timbul selepas mengadakan perbincangan penting dengan pegawainya selepas melihat masalah peniaga kecil berniaga ditepi jalan dan tiada tempat khusus untuk mereka.

Menurut beliau, kebanyakan peniaga kecil tidak mempunyai lesen menyebabkan mereka sering disaman pihak berkuasa tempatan (PBT) sekali gus menyukarkan golongan itu mencari rezeki.

“Raudhah Grocer akan menggabungkan dengan peniaga kecil yang dikenali versi 3.0. Konsepnya ala-ala Family Mart yang mana selain menjual barangan keperluan terdapat peniaga kecil seperti menjual goreng pisang dan tidak perlu lagi berniaga di tepi jalan.

“Modelnya sedang dibangunkan dan dalam proses akhir. Apabila dimuktamadkan nanti setiap Raudhah Grocer 3.0 mempunyai tempat peniaga untuk mencari rezeki,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau menjelaskan, di dalamnya nanti bukan sahaja seorang usahawan menjalankan Raudhah Grocer 3.0  tetapi disertai beberapa peniaga lain yang menjual produk mereka.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, model perniagaan yang dibangunkan itu tidak dimonopoli oleh seorang usahawan dalam Raudhah Grocer 3.0 nanti.

“Cuma di dalam itu (Raudhah Grocer 3.0) ada semua usahawan. Model kita tiada monopoli, tiada kapitalis. Contohnya, seorang usahawan mempunyai modal RM5,000 dan mahu berniaga di situ. Maka dia boleh berniaga dalam Raudhah Grocer 3.0,” ujarnya.

Beliau memohon umat Islam yang menyokong perjuangan ekonomi Islam berdoa semoga Allah memudahkan urusan itu demi kebaikan ummah.

“Kita kena buat sesuatu tindakan berbeza untuk menghasilkan keputusan berbeza khususnya dalam pemilikan ekonomi umat Islam,” katanya. 

Dalam pada itu Coach Fadzil berkata, selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan wabak Covid-19 ini, pembekalan makanan runcit dan jualan dalam talian mendapat sambutan luar biasa.

Menurut beliau, selepas membuka Raudhah Grocer dan RGX di Bangi, pihaknya bersama rakan niaga, pendakwah bebas, Ustaz  Firdaus Wong Wei Hung bakal membuka RGX di Seksyen 24, Shah Alam dan terkini kedai tersebut bakal dibuka di Putra Perdana, Puchong.

“Ketika ini ramai memohon supaya membuka Raudhah Grocer di tempat masing-masing. Sekarang ini belum boleh lagi ditawarkan kerana masing dalam proses membukanya,” katanya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here