
Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI
RAUDHAH CITY – Dalam kesibukan tugas harian tidak mematahkan semangat bagi ketua keluarga mencari bahan-bahan masakan juadah di pagi Aidilfitri buat keluarga.
Bukan sahaja wanita, golongan lelaki turut tidak ketinggalan singgah ke pasar raya Raudhah Grocer di Malakat Mall di sini untuk mencari bahan-bahan itu.
Seorang kakitangan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Mohd. Rosli Mahyudin, 35, berkata, tujuannya memang hendak membeli bahan-bahan juadah di pagi raya.

Katanya, dia memilih Malakat Mall kerana pelbagai produk menarik dijual.
“Walaupun tahun ini persiapan macam biasa, tetapi persiapan cukup untuk ahli keluarga yang ada dalam rumah sahaja.
“Berbanding sebelum ini persiapan lebih meriah tapi bila ke sini mudah bagi saya memilih untuk mendapat barangan yang halal untuk juadah persiapan menyambut Aidilfitri,” katanya.
Mengulas mengenai susun atur dalam pasar raya itu menjelang Aidilfitri, dia mengakui susunan menarik dan pelbagai pilihan juga membantunya memilih bahan-bahan masakan dengan mudah.
“Jika sebelum ini kita tak pernah nampak produk-produk itu (produk Muslim), dahulu tak tahu sekarang dah tau. Rupa-rupanya banyak ya produk Muslim,” katanya.
Seorang peniaga, Eduka Azan Syafiq, 30, berkata, persiapan raya pada tahun ini ala kadar sahaja.

Kongsinya, setiap pagi memang beli barang keperluan barangan dapur di Raudhah Grocer.
“Untuk persiapan raya pula saya ke Raudhah Grocer membeli barang basah seperti daging, ketupat segera dan bahan-bahan membuat juadah raya.
“Bagi saya keperluan barang dapur di sini mudahlah didapati di Malakat Mall,” katanya.
Bagi Ridzuan Abdul Latif, 45, pula berkata, pilihannya untuk ke Raudhah Grocer kerana ingin mendapatkan keperluan bahan-bahan membuat rendang termasuk ayam dan daging.
Katanya, harga yang ditawarkan memang berpatutanlah berbanding di tempat lain.
“Dapat tahu pun daripada media sosial Facebook, tetapi memanglah sebahagian barang yang premium agak mahal namun masih lagi mampu milik.
“Sebagai lelaki saya akui mudah untuk memilih produk-produk di sini kerana dijamin halal sebelum ini susah nak tahu, tapi di sini tak payah tapis-tapis lagi kerana sememangnya halal,” katanya. – MBNews