Raya tetap raya…

0
235

APA Khabar Orang Kita…Hari ini Jumaat 8 Mei bersamaan 15 Ramadan, pejam celik sudah separuh ‘perjalanan’ umat Islam menunaikan ibadah berpuasa di bulan yang mulia ini.

Ramadan pada tahun ini, umat Islam di seluruh dunia berpuasa dalam keadaan atau situasi ‘norma baharu’ dan apa yang pasti amalannya tetap sama dan tidak berkurangan.

Dalam masa 15 hari lagi, umat Islam akan merayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri. Sekali lagi suasana sambutannya akan diraikan dalam keadaan atau ‘norma baharu’.

Semua tidak dibenarkan untuk pulang ke kampung halaman seperti mana yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapannya baru-baru ini.

Keadaan itu sebenarnya sudah cukup untuk membuatkan air putih jernih bergenang di kelopak mata, sememangnya menjadi lumrah anak perantauan akan pulang setiap kali raya.

Tidak cukup dengan itu, semalam Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula mengumumkan amalan ziarah menziarahi juga tidak dibenarkan dalam tempoh PKPB.

Jadi, lupakan seketika untuk berjumpa sanak saudara terdekat semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti. Sambutlah kedatangan Syawal nanti bersama keluarga serumah sahaja.

Segala keputusan yang diumumkan kerajaan itu adalah untuk kebaikan bersama, apa makna beraya dengan meriah jika virus Covid-19 turut terselit bersama ketika beraya.

Apa makna bertukar-tukar sampul duit raya jika isi didalamnya terselit sama secebis virus yang boleh membahayakan anda sekeluarga. Pilih jalan selamat untuk anda sekeluarga.

Bagaimanapun, raya tetap raya. Rancanglah segala persiapan raya dengan sempurna, anda masih boleh bergambar bersama keluarga disamping menikmati juadah dirumah.

Tidak salah juga untuk bersederhana untuk tahun ini, untuk baju raya boleh selongkar almari…baju raya, baju melayu tahun sebelum-sebelum ini masih ada boleh digunakan lagi.

Apa yang penting, pastikan di pagi hari raya terhidang juadah sinonim dengan Hari Raya Aidilfitri seperti ketupat, lemang, rendang dan juga kuih raya bagi membangkitkan rasa.

Sambutlah kemenangan selepas sebulan berpuasa-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here