
Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM
CYBERJAYA – Kaunter permohonan rayuan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) akan dibuka di semua Cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDNM) pada 30 dan 31 Mei ini.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini, LHDNM berkata bagaimanapun, pembukaan kaunter di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan tidak dilakukan memandangkan tarikh tersebut jatuh pada cuti umum Pesta Kaamatan.
“Kaunter rayuan tersebut akan beroperasi dari pukul 8.00 pagi hingga 4.00 petang.
“Bagi pemohon BPN di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, kaunter permohonan rayuan BPN dilanjutkan ke hari bekerja berikutnya iaitu pada 2 Jun,” katanya.
Menurut LHDN, langkah pembukaan kaunter pada tarikh tersebut adalah bertujuan untuk memastikan golongan yang benar-benar layak tidak tercicir daripada menerima bantuan tersebut.
“Pemohon yang permohonan atau rayuannya tidak diluluskan sebelum ini boleh mengemukakan permohonan rayuan dengan hadir ke kaunter perkhidmatan LHDNM yang terdekat.
“Pemohon juga boleh kemukakan rayuan melalui e-mel ke [email protected] bersama dokumen sokongan yang berkaitan. Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 atau 603-89111100 (Luar negara),” katanya.