Reaksi warga maya kepada KP Kesihatan sedikit berbeza

0
1355
Dr. Noor Hisham Abdullah

CYBERJAYA – Warga maya yang menonton sidang media Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah hari ini menyatakan rasa tidak setuju dengan kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan bermula Isnin ini.

Pendapat yang berbunyi ‘senada’ itu menghujani siaran langsung Facebook Kementerian Kesihatan adalah rentetan terhadap pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai kelonggaran PKP yang diumumkan pagi tadi.

Dalam siaran ditonton lebih 422,000 orang itu, rata-rata warga maya menyuarakan kebimbangan terhadap langkah kerajaan membenarkan beberapa sektor ekonomi beroperasi semula.

Keputusan memberi kelonggaran itu dianggap terlalu cepat dan sepatutnya tidak dilakukan secara tergesa-gesa memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa empat masih belum berakhir.

Seorang pemilik akaun Facebook dikenali Yeo Kc berkata, sepatutnya PKP fasa empat perlu diteruskan sehingga 12 Mei ini.

“Patut teruskan PKP hingga 12 Mei , tak bermakna sudah PKP fasa keempat, sekarang semua boleh keluar sudah … aduhhhhhhh,” katanya.

Bagi Rodziah Ahmad pula, sepatutnya PKP diteruskan sehingga akhir tempoh memandangkan kes semakin meningkat.

Selain itu ada juga mempertikaikan disiplin dan kemampuan orang ramai mematuhi gesaan penjarakan sosial serta mengamalkan norma-norma baharu yang jika gagal akan menyebabkan PKP diulangi semula.

Bagi pemilik akaun Facebook Raff Hirr, dia bimbang jumlah kes baharu akan meningkat minggu depan berikutan kelonggaran PKPB.

“Tunggu je minggu depan ramai dah keluar tak mustahil la kes naik 100 hingga 200 balik, tunggu tengok je.”

Mohd. Naufal Abd. Rahman berkata, kelonggaran tersebut disifatkan membuang masa PKP yang telah dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.

Bagaimanapun, pengumuman dan penjelasan Dr. Noor Hisham berkenaan langkah itu selepas berjaya meratakan lengkungan kes mendapat sokongan warga maya.

Zykamilia Kamin mendoakan semoga Allah melindungi umatNya dan mengajak masyarakat mengamalkan amalan yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan.
“Kita tidak boleh hidup dalam ketakutan,” katanya.
Shari M. Yusof menyifatkan PKPB bukan penamat kepada PKP yang sedang dilaksanakan ketika ini.
“Sebarang tempat or lokaliti jika didapati terdapat kes baharu. Sila berhati-hati PKPB boleh dikenakan terhadap lokaliti dan taman perumahan anda,” katanya. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here