Restoran boleh mula dibuka kepada pelanggan bermula Isnin minggu depan

0
155

Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim bersama Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menjamu selera di Bunch-Oh.

CYBERJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bermula Isnin minggu hadapan semua restoran dan kedai makan dibenarkan beroperasi dengan berpandukan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Perdana Menteri berkata, antara SOP tersebut ialah melakukan penjarakan sosial, kerap mencuci tangan, memakai topeng muka dan melaporkan segera kepada Jabatan Kesihatan jika terdapat maklumat mengenai jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, pada masa sama keutamaan juga diberi bagi melindungi kumpulan berisiko seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

“Saya ingin memberikan beberapa contoh mudah bagaimana SOP ini hendak dilaksanakan. Misalnya, mulai 4 Mei ini, iaitu hari Isnin minggu depan, Pak Salleh boleh buka semula restoran yang ditutup.

“Jadi dalam sehari dua ini Pak Salleh boleh pergi ke restoran untuk bersihkan restoran, bersihkan pinggan, sudu, periuk dan lain-lain alat memasak, susun meja dan kerusi, dan beli stok barang-barang mentah,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri hari ini.

Perdana Menteri berkata, pada masa sama, meja juga mesti disusun dengan jarak sekurang-kurangnya dua meter antara satu meja dengan meja yang lain supaya ada jarak yang selamat antara pelanggan yang makan di restoran tersebut.

“Untuk pastikan penjarakan sosial ketika pelanggan makan, Pak Salleh boleh letak notis di setiap meja hanya satu orang, dua orang atau tiga orang dibenarkan makan bergantung kepada saiz meja. Kalau meja kecil mungkin satu orang atau dua orang sahaja dibenarkan.

“Kalau meja besar, mungkin tiga orang atau empat orang. Ini Pak Salleh kena tentukan. Keduanya, buatkan garisan di lantai depan kaunter bayaran. Ukur garisan sekurang-kurangnya satu meter antara satu sama lain,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pemilik restoran juga perlu menyediakan penyembur pembersih meja yang mencukupi, memastikan pekerja memakai topeng muka, memeriksa suhu badan pelanggan dan mencatat nama serta nombor telefon pelanggan serta tarikh dan masa mereka datang ke restoran.

Beliau berkata, langkah itu penting kerana jika ada kes positif, pelanggan lain yang datang pada hari itu boleh segera dikesan. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here