Risiko jika gagal amalkan normal baharu- Dr. Noor Hisham

0
124

CYBERJAYA- Risiko penularan Covid-19 secara mendadak di negara ini boleh kembali berulang jika rakyat lalai dan alpa dalam mengamalkan normal baharu seperti yang disarankan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata,
kerjasama dan komitmen semua lapisan masyarakat dalam memainkan peranan masing-masing sangat penting.

Beliau berkata, ia penting bagi memastikan Malaysia berjaya mengatasi wabak berkenaan daripada terus merebak.

“Kementerian ini mengingatkan rakyat Malaysia bahawa pandemik Covid-19 ini belum berakhir. Kita masih memeranginya cuma, pendekatannya sedikit berbeza.

“Secara global, sebanyak 187 negara terkesan dengan jumlah kes positif Covid-19 yang kini mencecah 3,343,777 dengan 238,650 kematian,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Terdahulu Dr. Noor Hisham memaklumkan jumlah kes baharu positif Covid-19 di Malaysia kembali mencatat tiga angka dengan 105 kes selepas 15 hari berturut-turut mencatat dua angka sejak 17 April lepas.

Menurut Dr. Noor Hisham, rakyat perlu terus mengamalkan penjarakan sosial yang selamat, digalakkan memakai penutup hidung dan mulut, kerap mencuci tangan dengan air dan sabun serta mengelak sebarang bentuk perhimpunan.

“Susulan lengkung penularan Covid-19 di negara ini telah diratakan, hospital kementerian ketika ini mempunyai lebih banyak kapasiti dalam merawat lebih ramai pesakit wabak berkenaan.

“Kadar keseluruhan bagi penggunaan katil di 40 hospital yang dikhususkan bagi merawat Covid-19 dan 26 pusat rawatan Covid-19 berisiko rendah adalah 17 peratus.

“Selain itu, kadar penggunaan bagi katil unit rawatan rapi (ICU) yang dikhususkan untuk pesakit disyaki dan disahkan positif Covid-19 adalah tujuh peratus atau 31 daripada jumlah 422 katil,” katanya.

Dalam pada itu katanya, penggunaan alat bantuan pernafasan pula adalah hanya satu peratus atau 12 daripada jumlah 1,059 alat berkenaan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here