Saringan di pusat jagaan warga emas oleh KKM

0
203

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan ujian saringan Covid-19 kepada pekerja dan penghuni pusat jagaan warga emas yang berdaftar di seluruh negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, memandangkan warga emas adalah kumpulan berisiko tinggi kepada jangkitan Covid-19, KKM telah memutuskan untuk menjalankan ujian saringan kepada golongan itu.

Katanya, saringan ini akan dijalankan secara berfasa bermula dengan 17 buah Rumah Sri Kenangan dan Rumah Ehsan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Seterusnya akan dijalankan saringan di 357 buah pusat jagaan yang berdaftar di bawah Akta 506 dan 26 buah nursing homes yang berdaftar di bawah Akta 586,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, pihaknya turut menyedari kewujudan lebih 1,000 buah pusat jagaan warga emas swasta yang tidak berdaftar di bawah mana-mana Akta.

Sehubungan itu, Pejabat Kesihatan Daerah telah diarah untuk mengenal pasti pusat jagaan warga emas swasta termasuk institusi pondok agama di daerah masing-masing bagi memastikan liputan saringan Covid-19 adalah menyeluruh.

Justeru itu kata beliau, pengusaha pusat jagaan swasta digalakkan untuk berhubung dengan Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai usaha itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here