‘Saya masih Pengerusi Bersatu, pemecatan tidak sah’

0
107
Tun Dr. Mahathir Mohamad

CYBERJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa beliau masih lagi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menyifatkan pemecatannya dari parti itu tidak sah.

Beliau berkata, Setiausaha Kerja Bersatu, Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya yang membuat pengumuman mengenai pengguguran beliau dari parti itu tidak sah kerana Muhammad Suhaimi telah dipecat lebih awal.

“Saya sebagai Pengerusi masih lagi memegang jawatan itu dan Datuk Marzuki (Yahaya) adalah Setiausaha (Agung) parti. Dia masih lagi memegang jawatan berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar d pejabat Bersatu di Petaling Jaya seperti dipetik portal Malaysia Gazette hari ini.

Dr. Mahathir menambah, pemecatan beliau menjadi tidak sah kerana pelantikan setiausaha agong baharu yang dilantik oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dibuat mengikut lunas yang betul.

Beliau berkata, ini kerana jika Muhyiddin mahu melantik setiausaah yang baharu perlu berunding dengannya tetapi perkara tersebut tidak berlaku sebaliknya dibuat mengikut keputusan sendiri.

“Saya cuma mendapat tahu bahawa jawatan setiausaha itu sudah diberi kepada (Datuk) Hamzah Zainuddin. Ini dibuat sendiri oleh presiden. Itu yang salah,” jelasnya.

Tambah beliau, Hamzah tidak mempunyai hak sama sekali untuk memegang jawatan dalam parti kerana Bersatu sebelum ini telah membuat keputusan bahawa ahli UMNO yang menyertai parti itu perlu melalui proses tertentu yang boleh dipersetujui tanpa dibenar mendapat jawatan.

“Dia (Hamzah) itu datang sebagai ahli biasa dan bila dia datang daripada UMNO tidak boleh pegang apa-apa jawatan. Apabila dia jadi setiauasaha yang dilantik oleh Muhyiddin ini adalah salah. Banyak Muhyiddin buat benda yang salah,” katanya.    

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here